UMK integrasi AI dalam pendidikan tinggi tanpa abaikan nilai kemanusiaan

Arham berkata setiap program pengajian yang ditawarkan universiti itu telah mula mengintegrasikan input berkaitan AI dalam kurikulum pengajaran dan pembelajaran sejak tahun lepas. - Gambar fail/Bernama
BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merancang untuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan tinggi secara menyeluruh tanpa mengorbankan nilai kemanusiaan dan etika, selari dengan agenda transformasi digital universiti bagi tempoh lima tahun akan datang.
Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Arham Abdullah berkata setiap program pengajian yang ditawarkan universiti itu telah mula mengintegrasikan input berkaitan AI dalam kurikulum pengajaran dan pembelajaran sejak tahun lepas, dan pelaksanaannya akan diteruskan secara berperingkat.
Beliau berkata pendekatan itu bertujuan memastikan pelajar bukan sahaja celik teknologi, malah mampu menggunakan AI secara beretika dan bertanggungjawab dalam bidang masing-masing.
"Bagi memastikan aspek etika terus terpelihara, UMK telah mewujudkan garis panduan dan kerangka etika penggunaan teknologi digital sejak 2020, termasuk penggunaan aplikasi seperti ChatGPT dalam proses pembelajaran," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Pelan Strategik UMK 2026-2030 (UMK30) di UMK Kampus Bachok hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perancangan universiti itu memanfaatkan teknologi AI dalam pendidikan tinggi tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan.
Mengulas kesiapsiagaan tenaga pengajar dan infrastruktur, beliau berkata UMK telah melantik seorang Ketua Pegawai Digital bagi menerajui pelaksanaan transformasi digital universiti secara lebih agresif dan tersusun.
Selain itu, katanya kepimpinan perpustakaan turut dilibatkan secara langsung bagi memastikan proses pendigitalan universiti dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.
Menurut beliau, satu rangka pendigitalan UMK yang komprehensif telah dibangunkan merangkumi elemen AI, data raya, pengkomputeran awan serta teknologi maklumat terkini sebagai asas kepada perancangan jangka sederhana dan panjang universiti.
"Transformasi digital ini bukan hanya tertumpu kepada aspek akademik, malah melibatkan pengurusan dan keselamatan kampus, antaranya UMK merancang menggunakan algoritma tertentu bagi meningkatkan kecekapan sistem pemantauan keselamatan termasuk penggunaan kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.
Beliau berkata kesemua inisiatif itu akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh lima tahun bagi memastikan transformasi digital universiti dapat dilaksanakan secara mampan, beretika dan berorientasikan kesejahteraan warga kampus.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


