MALAYSIA
UMNO bantah kemasukan ahli ke parti gabungan, desak inkues telus kes Zara Qairina

Asyraf Wajdi berkata, langkah itu adalah protes rasmi terhadap tindakan yang boleh menjejaskan hubungan antara parti gabungan sekiranya dibiarkan berlarutan. - Bernama
KUALA LUMPUR: UMNO menghantar nota bantahan kepada semua kepimpinan parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bercadang atau telah membenarkan kemasukan ahli UMNO ke dalam parti masing-masing.
Menurut Setiausaha UMNO, Dartuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu adalah protes rasmi dan amaran keras terhadap tindakan yang boleh menjejaskan hubungan antara parti gabungan sekiranya dibiarkan berlarutan.
“Protes ini merupakan amaran keras, jika tidak ditangani boleh mengeruhkan hubungan sesama parti-parti gabungan,” menurut kenyataan tersebut.
Pada 9 Ogos lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengesahkan bahawa permohonan beliau untuk menyertai parti PKR telah diterima dua minggu lepas. Tengku Zafrul berkata beliau kini merupakan ahli PKR bagi Cabang Ampang.
Selain isu lompat parti, MKT UMNO turut melahirkan rasa dukacita terhadap tragedi kematian Allayarham Zara Qairina Mahathir, yang disifatkan sebagai kegagalan serius dalam pengendalian siasatan.
Kes Zara Qairina
"UMNO kecewa dengan kelemahan prosedur siasatan yang diakui sendiri oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menjalankan inkues penuh bagi menentukan punca kematian, termasuk kemungkinan unsur jenayah.
“Moga-moga proses inkues ini kelak dikendalikan secara bebas dan telus mengikut undang-undang bagi mendapatkan keadilan tuntas buat arwah Zara Qairina,” tegas kenyataan itu.
Dalam pada itu, mesyuarat MKT turut membincangkan isu lain termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan semakan kehakiman Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang memberikan kelegaan terhadap usaha-usaha untuk mendapatkan keadilan dan pembelaan buat Najib.
Sehubungan itu, berdasarkan kenyataan itu, UMNO turut memandang serius kesalahan berulang dalam isu pemasangan dan pengibaran bendera Jalur Gemilang yang merupakan maruah dan lambang
kedaulatan negara.
"Tindakan tegas dan keras termasuk pendakwaan mesti dilakukan ke atas sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan ini tanpa mengira apa jua alasan sebagaimana peruntukan undang-undang yang sedia ada," ujarnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami