Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata ini dapat dilihat pada pemilihan yang berlangsung semalam, rata-rata mereka masih lagi mahu mengekalkan calon-calon ‘Status Quo’.
“Tidak banyak muka-muka baru yang ditonjolkan pada pemilihan kali ini terutama di peringkat Naib Presiden, Majlis Tertinggi dan juga di peringkat bahagian,” kata Ahmad Martadha.
Beliau menambah, walaupun itu adalah hak dan suara akar umbi yang memilih, proses transformasi dalam UMNO seharusnya dilengkapkan dengan barisan kepimpinan muda dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang akan datang.
“Sebab itu, proses transformasi itu perlu ada proses pembudayaan terutama untuk menyediakan barisan kepimpinan muda dan dalam masa yang sama juga melantik orang-orang yang mempunyai pandangan-pandangan yang berbeza sedikit dari ‘mainstream,” katanya lagi.
Oleh hal demikian, calon-calon yang dilihat mempunyai pandangan progresif seperti Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan mantan Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Seri Saifuddin Abdullah tidak dipilih.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berpendapat proses transformasi itu perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dimana tokoh-tokoh politik yang senior dikekalkan demi memberi bimbingan kepada pemimpin politik yang baru.
“Ramai yang berkata mereka mahukan satu perubahan yang besar. Perubahan tidak semestinya ditukar semua dan perubahan itu seharusnya dibuat secara berperingkat-peringkat jadi pemimpin lama ini masih diperlukan dalam memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada pemimpin baru ini,” kata Ismail.
Menurutnya lagi, lazimnya perubahan seperti calon akan dilakukan antara 20 hingga 25 peratus dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya namun pada pilihan raya umum yang lalu, Barisan Nasional (BN) membuat perubahan drastik dengan pengenalan muka-muka calon baru yang akhirnya menyebabkan mereka kecundang.
“Hampir 70 peratus calon BN Selangor bagi pilihan raya umum yang lalu ditukar dan akhirnya kita kecundang dan ini perlu diambil contoh dan iktibar,” katanya lagi.
Dr Ahmad Martadha dan Ismail Kijo memberi pendangan mereka ketika ditemubual dalam Awani 745 terbitan Astro AWANI pada Ahad.
Tiga Naib Presiden UMNO yang dipilih pada Pemilihan UMNO semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperoleh 188 undi, Datuk Seri Shafie Apdal pula mendapat 177 undi dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein pula mendapat 101 undi menewaskan tiga lagi calon iaitu, Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Isa Samad.