MALAYSIA
UMNO Pahang hargai PM Anwar, berharap Titah Adendum dilaksana tanpa berlengah

Menurut Wan Rosdy, kesediaan Perdana Menteri untuk bertemu dan berbincang mengenai Titah Adendum itu dilihat sebagai langkah penting ke arah mencari jalan penyelesaian yang terbaik terhadap isu tersebut. - Gambar fail Bernama
KUANTAN: Badan Perhubungan UMNO Pahang merakamkan penghargaan atas keterbukaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertemu dan berbincang berkenaan isu pelaksanaan Titah Addendum melibatkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kesediaan Perdana Menteri itu dilihat sebagai langkah penting ke arah mencari jalan penyelesaian yang terbaik terhadap isu tersebut.
Wan Rosdy dalam masa sama menegaskan, dengan pengesahan Titah Addendum oleh pihak pendakwaan, khususnya Jabatan Peguam Negara, maka wajar titah tersebut dilaksanakan tanpa berlengah.
Kenyataan itu merujuk warkah rasmi Sultan Pahang kepada Datuk Mohd Nizar Najib yang memperjelas perkenan baginda terhadap pelaksanaan tahanan rumah ke atas bekas Perdana Menteri itu."Perkara tersebut turut diperjelas melalui warkah rasmi baginda yang diutuskan kepada Datuk Mohd Nizar Najib, Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan yang juga anakanda kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 2 Disember 2024.
"Warkah baginda secara tidak langsung turut mengabsahkan afidavit yang telah dikemukakan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO serta Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Naib Presiden UMNO, dalam prosiding mahkamah terdahulu, yang sebelum ini telah diketepikan atas alasan “hearsay”," kata beliau.
Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri Pahang, di sini, malam tadi.
Dalam masa sama, beliau berkata, UMNO Pahang turut menyatakan sokongan terhadap pendirian 160 Ketua UMNO Bahagian dari seluruh negara yang sebelum ini menggesa agar titah berkenaan segera dilaksanakan oleh kerajaan.
Dalam prosiding Mahkamah Persekutuan pada 9 Julai, Jabatan Peguam Negara tidak mempertikai kewujudan Titah Addendum yang membolehkan Najib menjalani hukuman penjara secara tahanan rumah, seperti didakwa terkandung dalam titah Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami