UMNO perlu presiden yang lebih meyakinkan - Penganalisis

Astro Awani
Disember 19, 2018 00:17 MYT
Penganalisis berpendapat, UMNO perlukan reformasi yang lebih meluas dan mendasar dengan mengadakan persidangan pemilihan semula di peringkat pusat untuk memilih Presiden yang baharu. - Gambar hiasan
Tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi kepercayaan kepada Timbalan Presiden UMNO untuk menjalankan tugas Presiden tidak akan membantu pemulihan parti itu.
Sebaliknya, UMNO perlu menjalankan pemilihan semula di peringkat kepimpinan untuk memberi mandat kepada Presiden yang baharu.
Menurut penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, UMNO perlu bersidang, melakukan semula pemilihan Presiden yang dapat menyakinkan ahli di peringkat akar umbi.
“Langkah menyerahkan kuasa kepada Timbalan Presiden adalah bersifat sementara.
"UMNO perlukan reformasi yang lebih meluas dan mendasar dengan mengadakan persidangan pemilihan semula di peringkat pusat untuk memilih Presiden yang baharu,” kata Mazlan ketika ditemu bual dalam Komen Pagi.
BACA: Ahmad Zahid 'serah tugas' kepada Mohamad Hasan
BACA: Bahtera UMNO lebih besar daripada mana-mana individu - Tengku Putra
“Dalam keadaan UMNO yang parah ini, pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi dan pertengahan tidak menghormati pemimpin mereka di peringkat pusat.
"Kes yang dihadapi Presiden UMNO adalah mustahil untuk diatasi dalam satu penggal,” tambahnya.
Beliau tidak menafikan Datuk Seri Mohamad Hassan memiliki kewibawaan sebagai pemimpin, namun rekod beliau sebagai bekas menteri besar Negeri Sembilan tidak cukup untuk menyakinkan ahli parti di seluruh negara.
BACA: Zahid 'did the right thing', kata Khairy
BACA: Hentikan polemik kepimpinan, rapatkan saf - Asyraf Wajdi
Dr Mazlan menamakan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaludddin dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang mempunyai pengalaman di peringkat nasional sebagai antara individu yang sesuai mengatasi kemelut dihadapi UMNO.
Khairy merupakan bekas menteri belia dan sukan sementara Tengku Razaleigh pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan.
Pada pemilihan jawatan UMNO yang lalu, Ahmad Zahid memperolehi 93 undi jauh meninggalkan Khairy yang mendapat 51 undi dan Tengku Razaleigh yang mendapat 23 undi.
#ahli UMNO #Ahmad Zahid Hamidi #akar umbi #kewibawaan #Khairy Jamaludddin #Mazlan Ali #Mohamad Hassan #pemilihan semula #pemimpin UMNO #pemulihan parti #penganalisis #penganalisis politik #Presiden UMNO #reformasi #serah kuasa #Tengku Razaleigh Hamzah #UMNO