KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) masih belum menerima sebarang sampel bagi mengenal pasti spesis ubur-ubur yang dilaporkan menyerang dan menyengat dua individu dalam kejadian di Pantai Bukit Keluang, Besut, Khamis lalu.

BACA: Dua kes serangan ubur-ubur dilaporkan di Besut

Menurut Pensyarah Kanan Bidang Teknologi Alatan Perikanan dan Ekologi Perikanan UMT, Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz, setakat ini pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada ia adalah spesis irukandji atau spesis lain.

Sehubungan itu, Mohd Fazrul Hisam meminta mana-mana individu atau orang ramai yang terkena sengatan agar mengambil dan menyerahkan sampel ubur-ubur kepada pihaknya.

"Ubur-ubur ni banyak jenis dan kita tak boleh identifikasi melalui penglihatan sahaja. Sampel perlu dibawa balik ke makmal dan diidentifikasi oleh pakar.

"Kita kena simpan sampel sebab ada banyak ciri untuk kita identifikasi ubur-ubur, bukan semudah sekadar penglihatan luaran sahaja," kata Mohd Fazrul Hisam.

Menurutnya, hasil kajian membolehkan penyelidik menentusahihkan spesis dan faktor kemunculannya di perairan Terengganu, sekali gus memudahkan pihak perubatan mengenal pasti jenis penawar dan rawatan.

Sebelum ini seorang lelaki berusia 32 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun disengat ubur-ubur dipercayai jenis irukandji atau ubur-ubur merah ketika mandi di Pantai Bukit Keluang, Besut.

Dalam kejadian jam 2.30 dan 6.30 petang Khamis lalu, kedua-dua mangsa menunjukkan simptom kemerahan pada kulit dan diberikan rawatan awal.

Kanak-kanak terbabit dibenarkan pulang manakala lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Daerah Besut untuk rawatan lanjut selepas mengalami sesak nafas.