KUALA LUMPUR:UMW Holdings Bhd kembali mencatatkan keuntungan dengan pendapatan bersih RM101.28 juta untuk suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2020 (3QFY20), berbanding kerugian bersih RM78.44 juta yang dicatatkan pada suku tahun kedua (2QFY20) sebelum ini.

Prestasi positif ini disumbang ketiga-tiga segmen perniagaan utamanya yang mencatatkan peningkatan selaras pelonggaran terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan.

Pendapatan kumpulan itu melonjak 74 peratus kepada RM2.66 bilion daripada RM1.53 bilion pada suku sebelumnya.

Dari tahun ke tahun, keuntungan bersih kumpulan turun lapan peratus daripada RM110.29 juta yang dicatatkan pada 3QFY19, apabila pendapatan meningkat lebih tinggi pada RM2.89 bilion.

Presiden UMW Holdings Bhd, Datuk Ahmad Fuaad Kenali yang juga Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, berkata syarikat itu secara beransur-ansur mencatatkan hasil kewangan yang lebih baik dengan pelonggaran PKP, selain inisiatif untuk mengoptimumkan kos yang berterusan oleh kumpulan itu menghasilkan peningkatan yang berterusan kepada pendapatan.

"Penjualan automotif kumpulan itu meningkat berikutan pengumuman pengecualian cukai jualan terhadap kenderaan unit pemasangan tempatan (CKD) dan kenderaan siap sepenuhnya (CBU), berkuat kuasa pada 15 Jun hingga 31 Disember," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pendapatan segmen automotif melonjak 93.1 peratus suku ke suku kepada RM2.13 bilion yang membawa keuntungan sebelum cukai RM131.6 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM41.7 juta suku sebelumnya.

Bagi segmen peralatan pula, pendapatan meningkat 27.3 peratus suku ke suku kepada RM297 juta daripada RM233.2 juta sementara keuntungan sebelum cukai meningkat 38.1 peratus kepada  RM34 juta kerana permintaan meningkat untuk produk dan perkhidmatan segmen tersebut.

Melangkah ke hadapan, kumpulan itu menjangkakan penjualan domestik komponen automotifnya akan terus meningkat berikutan pengecualian cukai penjualan yang diberikan kepada jualan kenderaan sehingga akhir tahun, ditambah dengan kadar faedah yang lebih rendah.