Uncle Jet graduan tertua terima Ijazah Doktor Perubatan

Dr. Ng turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi graduan perubatan tertua di Malaysia setelah berjaya menamatkan pengajian melalui laluan USM+1. - Gambar Bernama
GEORGE TOWN: Selepas lebih tiga dekad menyimpan impian bergelar doktor perubatan, Dr. Ng Jet Kwan melakar sejarah tersendiri apabila menerima Ijazah Doktor Perubatan pada usia 57 tahun pada Sidang Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-63 di Dewan Tuanku Syed Putra di sini hari ini.
Ringkasan AI
- Dr. Ng Jet Kwan, 57 tahun, menjadi graduan perubatan tertua Malaysia selepas menerima Ijazah Doktor Perubatan dari USM, setelah menamatkan pengajian melalui laluan USM+1.
- Sejak kecil bercita-cita menjadi doktor, Dr. Ng berjaya mengejar impian tersebut selepas pengalaman dalam kejuruteraan dan Perubatan Tradisional Cina sebelum mendapat maklumat tentang program USM+1.
- Ng kini menjalani latihan sebagai Pegawai Perubatan Pelatih Siswazah di Hospital Pakar USM dalam bidang pembedahan am, dengan impian membuka klinik sendiri serta menyambung pengajian ke peringkat pakar perubatan dalam bidang geriatrik.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor, itu sebelum ini gagal menempatkan diri dalam pengajian perubatan dan kemudian meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan di United Kingdom dan kembali ke tanah air dan berkhidmat di Singapura negara selama 10 tahun.
"Selepas menjadi jurutera saya sambung belajar dalam Perubatan Tradisional Cina di sebuah universiti di China dan memang menjalankan perniagaan bersama isteri Jasmine Lim, 57, sebelum seorang rakan berkongsi maklumat yang USM menawarkan program Ijazah Doktor Perubatan melalui laluan USM+1.
Dr. Ng yang juga anak kepada pasangan penjaja itu, kini menjalani latihan sebagai Pegawai Perubatan Pelatih Sisawazah di Hospital Pakar USM (HPUSM), Kubang Kerian di Kelantan, iaitu dalam bidang pembedahan am.
Mengenai rahsia kejayaan pada usia sekarang, Dr Ng menegaskan tiada petua khusus selain keberanian merebut peluang dan mencabar diri untuk mencapai cita-cita sebagai doktor sejak kecil.
"Selepas menamatkan latihan housemanship nanti, saya berhasrat mendapatkan lesen dan permit untuk membuka klinik sendiri, dalam masa sama merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat seterusnya untuk menjadi pakar perubatan dalam bidang geriatrik," katanya.
Bapa kepada dua cahaya mata perempuan itu turut merakamkan penghargaan kepada para pensyarah khususnya mentor beliau, Prof Datuk Dr. Jafri Malin Abdullah yang banyak memberikan pedoman dan semangat serta rakan-rakan sepengajian.
"Terima kasih juga kepada Kementerian Kesihatan kerana dasar yang membolehkannya mengejar cita-cita zaman kanak-kanaknya," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata program Ijazah Doktor Perubatan USM+1 ialah program lima tahun yang merangkumi pengajian praklinikal tahun satu dan dua di luar USM, manakala tahun tiga hingga lima dijalankan sepenuh masa di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


