SEMUA parti politik dan bakal calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disarakan agar memahami kesalahan kesalahan pilihanraya khususnya berkaitan aktiviti kempen pilihan raya yang berunsur rasuah dan salahguna kuasa seperti tertakluk pada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR 1954) dan Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).

Peruntukan yang diperlukan sudah wujud dalam undang-undang sedia ada bagi membolehkan SPRM, PDRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas terhadap amalan rasuah dan salah guna kuasa menjelang pilihan raya negeri Melaka.

Bahkan di bawah peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mengandungi semua bentuk kesalahan rasuah dan salahguna kuasa yang jelas iaitu seksyen 8 (penjamuan), 9 (pengaruh tidak wajar), 10 (rasuah) semasa atau selepas tempoh pilihan raya.

Tambahan pula akta ini memperuntukan hukumanya lebih berat termasuk boleh dipenjara hinggalah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan hak mengundi. Sebenarnya hukuman sebegini jika dikuatkuasakan menakutkan dan menjejas dan boleh masa depan ahli politik yang melakukan kesalahan.

Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 – Penjamuan

Bagi Seksyen 8 ini, setiap calon boleh dianggap melakukan rasuah dengan menawarkan makanan, minuman kepada pengundi kerana tindakan tersebut menunjukkan penghargaan kepada pengundi lebih-lebih lagi bila calon itu mempunyai hasrat supaya undi dirinya. Petikan Seksyen 8 adalah seperti berikut: -

“...dan tiap-tiap pemilih atau pengundi yang, secara rasuah menerima atau mengambil apa-apa makanan, minuman, atau makanan atau minuman ringan atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain itu untuk membolehkan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan itu didapatkan bersalah atas kesalahan menjamu.”

Kata kuncinya adalah ‘secara rasuah’, mempunyai niat dengan memberi makanan atau minuman yang ditawarkan tersebut. Sudah tentu modus amalan sebegini kerap berlaku dalam politik Malaysia.
Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 - Pengaruh tidak wajar

Seksyen ini merujuk kepada “pengaruh yang tidak wajar” yang boeh menjadi kesalahan jika seseorang menggunakan kekerasan atau keganasan atau menghalang sehingga memaksa seseorang mengundi dengan cara tertentu, atau tidak mengundi langsung.

Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 - penyogokan

Penyogokan berlaku sekiranya calon atau mana mana individu menawarkan ‘pembelian undi’ sama ada secara langsung atau tidak langsung seperti memberikan atau menawarkan wang, hadiah, pekerjaan, atau pinjaman ketika proses pilihan raya.

Politik wang tidak ada tolerasi justeru tidak harus berlaku pada mana-mana parti politik. Untuk mengatasi masalah yang rumit ini kerajaan perlu memperkenalkan Pembiayaan Dana Politik. Akta ini dapat dijadikan panduan  untuk membezakan antara dana politik dengan sumbangan kepada parti atau ahli politik yang boleh dikategorikan sebagai rasuah.

Seksyen 19 AKPR 1954 - had perbelanjaan pilihan raya

Satu lagi perkara yang perlu diambil maklum oleh semua parti politik adalah mengetahui had perbelanjaan semasa pilihanraya.

Mengikut Seksyen 19 ini, had maksimum perbelanjaan masa pilihanraya adalah RM150,000.00 bagi setiap kerusi negeri dan RM200,000.00 bagi kerusi parlimen. Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa berjuta juta dibelanjakan di setiap kawasan semasa pilihanraya. Laporan perbelanjan perlu dikemukakan calon pilihan raya kepada SPR dalam tempoh sebulan selepas pilihan raya diwartakan. Majoriti calon tidak mematuhi kehendak akta ini.

SPR tiada kuasa menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

Undang undang AKPR 1954 agak ketat, tetapi malangnya Suruhnajaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan (enforcement) terhadap calon yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Sebenarnya, kuasa berkaitan perbuatan rasuah dan salahguna kuasa yang ada lebih menjurus kepada bidang SPRM dan juga Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Justeru SPR bolehlah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kepada SPRM setiap rasuah dan salahguna kuasa khususnya dalam tempoh pilihanraya, Selain itu, isu “pengaruh tidak wajar” yang melibatkan ugutan dan menggunakan kekerasan disalurkan diajukan kepada PDRM.

Sementara undang-undang sedia ada diperkukuhkan, sudah tentu pegawai dan anggota SPR, agensi penguatkuasaan telah bersedia dan akan mengawasi kegiatan kempen pilihanraya calon dan ejen dalam memastikan tiada yang melanggar undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya.

Parti politik hendaklah mengamalkan proses politik yang berintegriti dan memberi perhatian khusus kepada aktiviti yang dianggap sebagai ‘perbelanjaan undi’ yang berlaku sebelum, semasa atau selepas proses pilihanraya.

Hukuman di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

Di dalam keempat empat kesalahan di atas, pesalah boleh dipenjara maksimum 2 tahun, denda hingga RM5,000.00, dibatalkan kelayakan sebagai wakil rakyat serta kehilangan hak men gundi selama 5 tahun.
Mana mana kesalahan rasuah boleh juga didakwa di bawah Akta SPRM 2009 yang mana denda lebih tinggi dan tempoh pemenjaraan lebih panjang.

Akta SPRM 2009 – Hukuman dan penalti

Akta ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.00 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, Jika sabit kesalahan.

Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009 - Gagal Melapor pemberian, janji atau tawaran

Jika sekiranya gagal melapor pemberian, janji atau tawaran rasuah di bawah Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009 akan dikena denda tidak lebih RM100,000.00 dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 25 (3) dan (4) Akta SPRM 2009 - Gagal Melapor permintaan atau memperolehi

Sementara itu, apabila gagal melapor permintaan atau memperolehi suapan di bawah Seksyen 25 (3) dan (4) Akta SPRM 2009 akan didenda tidak lebih RM10,000.00 dan penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Jangan lupa melaporkan amalan rasuah ketika proses Pilihan Raya Negeri Melaka kepada  bilik  gerakan bertempat di Pejabat  SPRM Meaka,Alai yang beroperasi 24 jam melalui email [email protected] atau menghubungi terus talian 06-2896011 atau 06-2896000.

Semua calon dan penyokong perlu menjalankan kempen dalam skop undang-undang dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) manakala agensi agensi penguatkuasaan terus menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi proses demokrasi bagi membolehkan pilihan raya negeri Melaka berjalan dengan bebas, bersih, adil dan berwibawa.

Selepas pilihan raya ini, parti yang menang diharapkan dapat membentuk sebuah Karajan yang berintegriti, stabil dan terus bersama-sama rakyat memerangi rasuah yang masih beleluasa demi masa depan negara dan generasi akan dating. Rasuah adalah ibu segala kegiatan jenayah dan kejahatan.



- DATUK SRI AKHBAR SATAR, Presiden, Persatuan Pemeriksa Fraud Bertaulih – Cawangan Malaysia