Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM) mahu UNESCO menjadikan seni silat diwartakan sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara.

Setiausaha Kehormat DSSM Maimoon Hussein berkata pihaknya telahpun menghantar permohonan kepada UNESCO (Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) bagi memastikan seni budaya berkenaan terus dipelihara dan berkembang.

DSSM juga tidak mahu seni silat menjadi milik sesebuah negara, tetapi keseluruhan kepulauan Melayu.

"Baru-baru ini DSSM dengan kerjasama Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) telahpun menghantar pencalonan kepada UNESCO sebagai langkah memberi pengiktirafan dan mengangkat martabat seni budaya silat di seluruh dunia.

"Kita tidak mahu silat ini dikategorikan sebagai milik sesebuah negara kerana ia akan menjadi tidak adil kepada penggerak seni-seni silat yang lain kerana silat itu sendiri dikembangkan di kepulauan Tanah Melayu," katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Himpunan Seribu Srikandi Melayu ke-4 di Tanjung Balau, di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan oleh Ketua Pengarah Biro Tata Negara (BTN), Datuk Ibrahim Saad, yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Program yang dihadiri lebih 2,000 srikandi turut mendapat pengiktirafan Malaysia Tourism Record daripada MTC kerana berjaya mengumpulkan 20 jenis perguruan silat di satu tempat.

Presiden MTC Uzaidi Udanis berkata ini merupakan perhimpunan srikandi terbesar di dalam negara yang berpotensi menarik pelancong dari luar.

"Ia selari dengan visi 'Tahun Melawat Malaysia 2020' dengan kerajaan mensasarkan untuk menarik lebih 36 juta pelancong ke dalam negara," katanya.

-- BERNAMA