SHAH ALAM: Indonesia yang mempunyai umat Islam terbesar di dunia menunjukkan contoh toleransi cemerlang hingga ‘babi guling’ dari Bali diiktiraf sebagai Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, hidangan babi guling di Bali dikhaskan untuk upacara-upacara besar dan menjadi hidangan unik pada acara keramaian.

Malah, ujar beliau, hasil pendapatan ekonomi yang dijana oleh pelancongan gastronomi itu juga adalah besar di negara kepulauan itu.

"Kepelbagaian budaya di Indonesia dan toleransi masyarakatnya terhadap kepelbagaian itu adalah suatu perkara yang wajar dipelajari oleh anasir-anasir politik di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Lip Eng memberitahu, menurut laporan Royal Islamic Strategic Studies Centre tahun lalu, Indonesia mempunyai jumlah populasi umat Islam seramai lebih 240 juta iaitu sekitar 87 peratus daripada keseluruhan populasi negara terbabit.

"Ini menjadikan Indonesia negara dengan jumlah umat Islam paling ramai di dunia, diikuti Pakistan," jelas Lip Eng.

Pada 24 Februari lalu media melaporkan, bak kut teh yang dikatakan hidangan berasal dari Klang, Selangor, diiktiraf secara rasmi sebagai sebahagian daripada Warisan Negara.

Hidangan itu antara 10 makanan yang diisytiharkan sebagai Warisan Negara oleh Pesuruhjaya Warisan, Mohamad Muda Bahadin.

Pengumuman itu disiarkan dalam Warta Kerajaan, yang turut menyenaraikan makanan dari Johor iaitu burasak, mi kolok dan nasi ambeng; kuih tradisional seperti dodol, kuih genggang atau kuih lapis, kuih karas dan uthappam; jeruk tuhau; dan minuman air katira sebagai makanan Warisan Negara.

Bagaimanapun, isu menu bak kut teh yang disenaraikan sebagai makanan warisan negara itu mendapat perhatian termasuk di Dewan Rakyat dan dipertikai banyak pihak.

Oleh demikian Lip Eng berkata, Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang kaya dengan kepelbagaian budaya seharusnya meraikan kepelbagaian.

Selain itu, katanya, negara juga tidak seharusnya bertindak menggunakan perbezaan sebagai senjata politik untuk memecah-belah dan menimbulkan kebencian dalam masyarakat.

"Jadi persoalan saya apakah sebabnya Indonesia sebagai sebuah negara majoriti umat Islam jauh lebih ramai penduduk Muslimnya daripada Malaysia boleh meraikan kepelbagaian dan hidup toleransi, tetapi tidak di Malaysia.

"Kenapakah Malaysia versi Pas mesti menjadikan perbezaan budaya sebagai senjata politik yang memecah-belah dan bukannya faktor yang memupuk perpaduan serta persefahaman?" soal beliau.

Beliau memberitahu, Lajnah Perpaduan Pas sebelum ini pernah memperkenalkan ‘bak kut teh’ halal sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada 2018 lalu.

"Kenapa saranannya diketepikan, dan kini bak kut teh dijadikan senjata politik oleh Pas?" jelas beliau. - Sinar Harian