NEW YORK: Ketika dunia berdepan dengan cabaran-cabaran geopolitik seperti konflik di Ukraine, semua negara, terutamanya negara-negara besar digesa supaya mengelak daripada mengasingkan sesebuah negara dalam sebarang platform antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berulang kali menegaskan dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 bahawa Malaysia tidak bersetuju dengan mewujudkan blok pengasingan yang dilihat hanya akan memburukkan situasi.

“Apabila tercetusnya konflik, semua pihak bertanggungjawab untuk meredakan ketegangan dan memberi keutamaan kepada keselamatan dan nyawa orang awam.

“Pada masa yang sama, pihak yang bertelagah perlu kembali ke meja perundingan untuk menghentikan konflik secepat mungkin.

"Malaysia tidak bersetuju dengan tindakan pengasingan sesebuah negara daripada pertubuhan antarabangsa,” ujarnya pada Jumaat.

Malah, katanya, blok pengasingan hanya akan “mendorong dunia ke kancah perang dingin”.

Merujuk kepada situasi di Ukraine, Perdana Menteri berkata, kesannya bukan sahaja dideritai oleh rakyat negara itu, malah turut dirasai serata dunia.

“Konflik ini telah mengancam keamanan, keselamatan global, ekonomi dan menggugat sekuriti makanan.

"Malaysia mengalu-alukan perwujudan koridor laluan laut yang membolehkan penghantaran bijirin dari Ukraine.”

Sesi debat umum UNGA pada tahun ini jelas didominasi oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, selepas dua tahun tumpuan terarah kepada pandemik COVID-19.

Selain Ismail Sabri, turut membuat seruan untuk keamanan di Ukraine termasuk Presiden Ghana Nana Addo Dankwa Akufo-Addo pada Rabu dan Presiden Poland Andrzej Duda pada Selasa.