MALAYSIA

Unisel gagal cabar pampasan RM280,875 bekas profesor madya

Bernama 04/02/2026 | 14:48 MYT
Mahkamah turut mengarahkan Unisel membayar kos guaman berjumlah RM15,000 kepada bekas profesor madya Fakulti Perniagaan, Mohd Fuad Mohd Salleh. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Universiti Selangor (Unisel) untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan pampasan Mahkamah Perusahaan berjumlah RM280,875 kepada bekas profesor madya yang didakwa diberhentikan secara konstruktif.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Supang Lian dan Datuk Dr Shahnaz Sulaiman serta Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Hakim Amarjeet, yang menyampaikan keputusan mahkamah, berkata Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dari segi undang-undang dan tiada alasan untuk Mahkamah Rayuan campur tangan.

Mahkamah turut mengarahkan Unisel membayar kos guaman berjumlah RM15,000 kepada bekas profesor madya Fakulti Perniagaan, Mohd Fuad Mohd Salleh.

Mohd Fuad, 63, sebelum ini diberikan pampasan RM280,874.03 sebagai tunggakan gaji dan pampasan menggantikan pengembalian jawatan oleh Mahkamah Perusahaan pada 27 Okt 2022 selepas memutuskan beliau diberhentikan secara konstruktif.

Mahkamah Perusahaan memperuntukkan RM97,979.31 sebagai pampasan menggantikan pengembalian jawatan dan RM182,894.72 sebagai tunggakan gaji.

Unisel pada mulanya mencabar keputusan itu dengan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi pada 3 Nov 2022.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 24 Okt 2023 membatalkan rayuan itu selepas memutuskan universiti berkenaan menggunakan saluran undang-undang yang salah, memandangkan prosedur sepatutnya adalah melalui semakan kehakiman, bukannya rayuan.

Susulan itu, Unisel memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Ketika rayuan itu masih dalam proses, universiti berkenaan turut memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi pada 8 Dis 2023 bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Ahmad Md Shahid (kini Hakim Mahkamah Rayuan), menolak permohonan berkenaan pada 28 Nov 2024 atas alasan pertindihan prosiding serta mendapati permohonan itu dikemukakan lewat 43 hari melepasi tempoh had statutori tiga bulan.

Mahkamah turut menolak permohonan Unisel untuk melanjutkan tempoh pemfailan selepas mendapati universiti berkenaan gagal mengemukakan alasan munasabah.

Berikutan keputusan itu, Unisel memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan yang didengar hari ini.

Pada prosiding hari ini, peguam Mohamed Ibrahim K.P Kunji Mohamad dan Nor Aziah Harun mewakili Unisel, manakala Mohd Jamil Yaacob mewakili Mohd Fuad.

-- BERNAMA

#Unisel #mahkamah #pampasan #Profesor Madya #semakan kehakiman