Angkatan Tentera Malaysia akan turut menggunakan pasukan Unit Dron ATM menerusi Op Penawar yang akan memantau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, menerusi penggunaan dron, secara tidak langsung akan menjadi 'mata' kepada pihak berkuasa sepanjang perintah PKP dilaksanakan.

"Penggunaan dron ini mampu menjimatkan masa selain menjadi mata kepada pihak berkuasa.

"Kita telah kenal pasti beberapa lokasi 'hotspot' dan akan dibincangkan di peringkat tertinggi sebelum pelaksanaan ini dijalankan," katanya ketika ditemui ketika meninjau penggunaan dron ATM di Cheras pada Sabtu.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan agar orang ramai sentiasa patuh dan akur dengan perintah PKP bagi dalam usaha mengawal penularan wabak COVID-19.

"Anggota tentera dikerah disebabkan masih ada yang langgar perintah PKP, kita bimbang tempoh PKP ini akan dilanjutkan lagi dan Ramadan akan datang tidak lama lagi jadi fikirlah," katanya lagi.

Sebanyak empat pasukan dron ATM dikerah terdiri daripada lapan unit dron yang akan ditempatkan di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti termasuk kawasan zon merah.

Terdahulu, beliau turut hadir meninjau sekitar lokasi sekatan jalan raya di Cheras.