Penubuhan pasukan Unit Tindakan Cemas Berkuda di kawasan peranginan Pantai Batu Buruk diyakini akan memberi satu keunikan khidmat bantuan selain menjaga keselamatan pengunjung sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT 2013) tahun ini.

Ketua Turus Unit Tindakan Berkuda Terengganu Mohd Noor Yusof berkata Unit Tindakan Cemas Berkuda yang dilancar Jumaat lepas akan menjaga keselamatan dan memberikan khidmat bantuan kepada pelancong yang mengalami kesulitan di sepanjang pantai itu setiap hujung minggu.

"Matlamat kami ialah jika pelancong mengalami kecemasan, kamilah yang akan memberi tindakan pantas," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Unit berkuda yang terdiri dari lima pegawai dan 20 anggota beruniform untuk menjayakan visi TMT 2013 itu ditubuhkan bulan lepas dan kesemua anggota serta pegawai terlibat telah menjalani latihan selama sebulan dalam teknik menunggang dan memberikan khidmat kepada pelancong.

Beliau berkata dengan penubuhan Unit berkuda ini, ia secara tidak langsung dapat membantu mempromosi keunikan Terengganu yang komited menjaga keselamatan pelancong dan rakyatnya.

Mohd Noor berkata pihaknya kini dalam usaha untuk menarik lebih ramai belia menyertai unit ini untuk sama-sama menjaga keharmonian negeri Terengganu.

Terengganu mempuyai pelbagai destinasi pelancongan antaranya Tasik Kenyir, Pulau Redang, Pulau Kapas, Air Terjun Sekayu, Setiu Wetland, dan Santuari Penyu.

Sebanyak 34 acara pelancongan bakal dianjur sepanjang TMT 2013 untuk menarik lebih ramai pelancong asing dan tempatan ke 'negeri cantik budaya menarik' ini.