KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) mengeluarkan kenyataan memohon maaf susulan tindakan membenarkan ahli akademik Amerika Syarikat (AS) yang dipercayai pro-Israel, Dr Bruce Gilley tampil sebagai penceramah jemputan ke institusi itu.

"UM berasa kesal dengan kenyataan kontroversi serta tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di laman media sosial.

"Laporan lengkap berhubung isu ini sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat dengan isu ini," menurut kenyataan media institusi itu pada Khamis.

UM dalam kenyataan itu juga turut mengambil maklum saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah itu dibatalkan segera.

Universiti itu juga berkata ia sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat terutamanya berhubung semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama, termasuk kajian penilaian risiko profil media sosial.

Dalam pada itu, institusi tersebut turut mengecam kenyataan terbaharu Gilley berkenaan aspek keselamatan pengembara ke Malaysia.

"Ini merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia," tulis kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Gilley berkata dia telah keluar dari Malaysia serta mendakwa Malaysia bukan negara yang selamat untuk dilawati ketika ini.

"Saya telah selamat keluar dari Malaysia, lebih awal sebelum penunjuk perasaan Islam-fasis yang disokong kerajaan di sana mengadakan demonstrasi," katanya melalui ciapan X, pada Khamis.


Sebelum ini, UM menerima kecaman kerana membenarkan seorang ahli akademik AS menyebarkan propaganda Zionis dan menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin menyebarkan kebencian terhadap Yahudi.

Seorang Profesor Sains Politik, Bruce Gilley, dikatakan mendakwa menuduh ahli politik Malaysia menggesa 'Holocaust kedua' terhadap orang Yahudi dan juga menyerang bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hal itu mendapat reaksi kurang senang daripada pengguna internet yang mempersoalkan akaunnya, manakala yang lain mengkritik UM kerana menjemput penceramah pro-Zionis.

UM difahamkan telah melancarkan siasatan terhadap ucapannya, dan telah membatalkan satu lagi ceramah Gilley esok anjuran Institut Pengajian China di universiti itu.

Tinjauan di akaun X Gilley mendapati dia telah memadamkan semua hantar berkaitan ucapan mahupun kenyataan berbaur propaganda Israel yang dikeluarkan di Kuala Lumpur.