Skip to main content

Malaysia

Universiti Malaysia perlu perkukuh kembali pengajaran sejarah kolonialisme - Zambry

KUALA LUMPUR, 7 April -- Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Public-Private Research Network (PPRN) 2026 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini._BERNAMA
Universiti Malaysia, terutamanya fakulti kewartawanan, perlu mengangkat kembali tanggungjawab untuk mengajarkan sejarah kolonialisme dan perkaitannya dengan muktahir ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia, terutamanya fakulti kewartawanan, perlu mengangkat kembali tanggungjawab untuk mengajarkan sejarah kolonialisme dan perkaitannya dengan muktahir ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, beliau bersetuju dengan Profesor Institut Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Ahmad Murad Merican, tentang keperluan untuk memperkukuh pengajaran sejarah kolonialisme di universiti, terutamanya di fakulti kewartawanan.

Advertisement

“Ini bukan usaha menoleh ke belakang. Ini adalah keperluan untuk melengkapkan tenaga pengajar dan mahasiswa dengan keupayaan memahami bagaimana struktur hegemoni terus membentuk susunan tatanan dunia hari ini.

“Apa yang sedang kita saksikan hari ini bukanlah pemisahan daripada sejarah lampau, tetapi kesinambungannya, yang mana kuasa dilaksanakan melalui instrumen baharu, namun tetap berakar pada logik penguasaan yang sama,” katanya.

Beliau berkata dalam apa yang sering disebut sebagai zaman kuasa (age of power),  pengaruh melalui media, teknologi, ekonomi mahupun geopolitik masih kekal tidak seimbang.

“Tanpa kefahaman kritikal terhadap warisan kolonial, kita berisiko melahirkan graduan yang sekadar cekap secara teknikal, tetapi lemah dari segi kemandirian intelektual, tidak mampu mempersoalkan sistem yang mereka sendiri warisi dan jalankan,” katanya.

Zambry berkata dalam masa yang sama beliau juga bersetuju bahawa wacana pascakolonial tidak seharusnya dianggap sebagai suatu yang ideal.

“Realiti yang sedang terbentang kini jauh lebih getir. Apa yang kita hadapi hari ini bukanlah pembebasan yang sempurna, tetapi penyusunan semula bentuk penguasaan, iaitu suatu usaha intensifikasi kecenderungan imperialis yang sering kali mencabar batas kemanusiaan sejagat,” katanya.

Beliau berkata kerangka semasa dalam penilaian keilmuan dan pengiktirafan akademik juga perlu diteliti semula kerana kebergantungan yang berlebihan kepada metrik seperti Scopus berisiko mewujudkan ekosistem intelektual yang terhomogen yang mana ilmu diseragamkan, perspektif ditapis, dan epistemologi tempatan dipinggirkan.

“Universiti tidak boleh sekadar menjadi pengguna hierarki pengetahuan global. Sebaliknya, ia mesti menjadi penghasil pemikiran yang berakar pada realiti sendiri, yakin dengan tradisi intelektualnya, dan berani mencabar kerangka dominan,” katanya.

Ahmad Murad berkongsi pandangannya menerusi hantaran di laman Facebook semalam, dengan mengatakan bahawa universiti dan fakulti kewartawanan Malaysia perlu mengajar tentang sejarah kolonialisme dan implikasinya untuk lebih memahami orde dunia dan kawalan kuasa ketika ini.

Beliau berkata naratif itu harus bermula dengan penjajahan, bukan neo-kolonialisme atau wacana pascakolonial yang dianggap ideal, dan diikuti dengan penentangan kritis dan tafsiran semula.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video