KUALA LUMPUR: Pelajar yang mempunyai kesukaran dalam isu kewangan serta kebajikan sehingga mengganggu sesi pembelajaran disaran segera merujuk kepada bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti berkenaan.

Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ahmad Masrizal berkata ini kerana HEP sesekali tidak akan mendiskriminasikan sebarang status pelajar.

Tambahnya bahagian HEP mempunyai segala maklumat dan rekod status ekonomi sosial pelajar bagi setiap kali sesi kemasukan baharu.

Pelajar yang menghadapi masalah kebajikan ketika sesi pengajian perlu sentiasa mengemas kini rekod sendiri dengan cara memaklumkan permasalahan yang dihadapi mereka kepada bahagian terbabit.

Justeru, dengan langkah itu Bahagian HEP dapat membuat tindakan susulan dalam membantu pelajar berkenaan mendapatkan keperluan yang sepatutnya.

"Sebagai contoh apabila kita tidak ada keupayaan membeli laptop, apabila kita merujuk kepada bahagian HEP, maka HEP tahu bagaimana nak menyelesaikan masalah pelajar ini.

"Sebagai contoh apabila pelajar yang tidak mempunyai laptop dan perlukan laptop ketika itu, maka kita ada pusat zakat yang akan membantu sebagai saluran, kita bekerja sama dengan kementerian yang lain juga untuk membantu pelajar-pelajar ini," katanya.

Selain itu, kementeriannya juga turut memberikan pelepasan yuran pengajian sebanyak 21 peratus pada sesi akademik tahun 2021 dan 2022 kepada semua pelajar.

Golongan pelajar kategori B40 di kolej dapatan pendidik komuniti dan politeknik turut memberikan pengurangan bayaran yuran sehingga 50 peratus baru-baru ini.

Ini membuktikan Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa memberikan perhatian dan peluang yang baik untuk pelajar golongan B40 ini dalam kebolehcapaian menamatkan pengajian mereka.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis Anugerah Graduasi 2021 Sekolah Menengah Setiabudi di ibu negara malam tadi.