Skip to main content

Dunia

Kemboja wartakan undang-undang baharu perangi penipuan dalam talian

Flag of Cambodia
Kemboja mewartakan undang-undang baharu bagi memerangi penipuan dalam talian yang memperuntukkan hukuman sehingga 30 tahun penjara atau penjara seumur hidup terhadap dalang sindiket.

PHNOM PENH: Kemboja mewartakan undang-undang baharu bagi memerangi penipuan dalam talian yang memperuntukkan hukuman sehingga 30 tahun penjara atau penjara seumur hidup terhadap dalang sindiket, lapor Xinhua.

Pewartaan itu dibuat menerusi dekri diraja yang ditandatangani Pemangku Ketua Negara, Hun Sen selepas Senat atau Dewan Tertinggi memberikan kelulusan akhir terhadap undang-undang berkenaan pada 3 April.

Advertisement

Menurut dekri itu, undang-undang itu berkuat kuasa serta-merta.

Di bawah undang-undang baharu itu, ketua sindiket penipuan dalam talian boleh dikenakan hukuman antara 15 hingga 30 tahun penjara atau penjara seumur hidup jika operasi mereka mengakibatkan satu atau lebih kematian.

Dalang pusat penipuan dalam talian pula berdepan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda sehingga satu bilion riel (sekitar AS$250,000) dan boleh dikenakan hukuman antara 10 hingga 20 tahun penjara serta denda sehingga dua bilion riel jika operasi mereka melibatkan keganasan, penyeksaan, penahanan haram, pemerdagangan manusia atau buruh paksa.

Individu yang terlibat dalam penipuan dalam talian pula boleh dipenjarakan antara dua hingga lima tahun serta denda sehingga 500 juta riel.

Negara Asia Tenggara itu melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara bagi membanteras rangkaian penipuan siber, dalam usaha mengekalkan keselamatan sosial, ketenteraman awam serta memulihkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Sar Sokha berkata pada Februari  Kemboja mengusir lebih 30,000 warga asing yang disyaki terbabit dalam penipuan, manakala lebih 210,000 lagi meninggalkan negara itu secara sukarela selepas operasi membanteras penipuan dalam talian dipergiat sejak Jun tahun lepas.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video