KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati terdapat remaja yang tidak memenuhi atau menghadiri janji temu dos kedua seperti ditetapkan.

Ini mengakibatkan unjuran kadar vaksinasi dos kedua bagi remaja yang sepatutnya mencapai 80 peratus pada 11 November tidak dapat dicapai.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali sasaran 80 peratus lengkap vaksin bagi kumpulan remaja dijangka hanya dapat dicapai pada akhir bulan November atau awal bulan Disember.

"Sehingga 3 November, seramai 2,622,306 (83 peratus) remaja telah menerima 1 dos vaksin COVID-19 dan 2,197,961 (69.8 peratus) telah menerima 2 dos.

"Negeri yang mempunyai pencapaian dos 2 tertinggi adalah Melaka (88.6 peratus), Perlis (87.8 peratus), Pulau Pinang (83.7 peratus), Kedah (81 peratus) dan Terengganu (80.9 peratus),"  katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Noor Ghazali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) memberitahu, sekiranya ibu bapa tidak memastikan anak remaja mereka menerima dos keuda, risiko kumpulan remaja dijangkiti COVID-19 adalah lebih tinggi berbanding mereka telah menerima lengkap dua dos.

Jelasnya, situasi ini akan memberi kesan kepada pembukaan semula sekolah dan juga pembukaan semula sektor ekonomi di seluruh negara.

"Sehubungan itu, KKM menyarankan kepada semua ibu bapa dan penjaga untuk mematuhi janji temu dos kedua anak remaja anda supaya mereka dapat dilindungi daripada jangkitan COVID-19.

"Bagi ibu bapa yang terpaksa menjadualkan janji temu dos kedua, anda boleh hubungi pihak sekolah supaya janji temu baharu dapat diberikan.

"Ibu bapa yang tidak dapat hadir, dimohon mewakilkan seorang individu dewasa bagi mengiringi anak-anak menerima vaksin COVID-19 dengan mengisi Surat Perwakilan Ibu Bapa/Penjaga yang boleh didapati daripada sekolah anak masing-masing," jelasnya.

Noor Azmi memahami kebimbangan dalam kalangan ibu bapa berkaitan kesan sampingan seperti alahan namun beliau menekankan bahawa kesan sampingan yang serius adalah amat jarang berlaku dan dengan rawatan awal, remaja akan pulih sepenuhnya.

Justeru itu, beliau memohon ibu bapa mengiringi anak-anak ke janji temu vaksinasi yang telah ditetapkan untuk melindungi anak-anak remaja.

"Meskipun sektor ekonomi dan sosial telah dibuka semula dan keadaan semasa semakin bertambah baik, ibu bapa harus sedar bahawa risiko jangkitan COVID-19 masih tinggi lebih-lebih lagi kepada anak-anak yang masih belum lengkap vaksinasi. Tiada yang selamat hingga semua orang selamat," ujarnya.