KUALA LUMPUR: Program pembiayaan awam, Untuk Malaysia, menyediakan intervensi untuk membantu murid-murid yang keciciran daripada arus pendidikan tatkala negara dilanda pandemik COVID-19.

Dinamakan ‘Selamat 1,000 Murid Cicir COVID-19’ Pengarah Operasi Untuk Malaysia, Hafizul Faiz berkata intervensi berterusan itu bertujuan membantu sekurang-kurangnya 1,000 murid pada tahun ini.

“Murid daripada tahun 1 sampai tahun 6, sama ada mereka bersekolah atau tidak bersekolah tetapi mereka ini tidak dapat menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

“Kebanyakan daripada mereka adalah yang terkesan daripada pandemik tahun lepas kerana selama hampir lebih daripada separuh tahun atau 185 hari mereka tidak bersekolah seperti biasa.

“Disebabkan itu, murid-murid tersebut tercicir daripada proses pembelajaran yang sepatutnya,” kata Hafizul kepada Astro AWANI pada Selasa.



Beliau berkata pada peringkat pertama, program tersebut memberikan tumpuan kepada murid daripada keluarga golongan B40.

Seramai 500 sukarelawan atau dikenali sebagai ‘change maker’ dilatih sebelum ditugaskan untuk mengajar murid-murid untuk membaca, menulis dan mengira untuk dua kali seminggu.





Katanya, setiap ‘change maker’ akan mengajar dua murid yang tinggal dalam radius 10km daripada rumah mereka.

“Proses intervensi tersebut akan membantu murid-murid tercicir untuk sekurang-kurangnya 10 bulan.

“Kami ingin memastikan kadar kejayaan ini lebih daripada 90 peratus, jadi kami membangunkan modul untuk diaplikasikan selama 10 bulan.

“10 bulan ini adalah satu proses yang panjang untuk kami betul-betul pastikan murid yang tidak boleh membaca, menulis dan mengira itu boleh menguasai selama 10 bulan,” jelasnya.





Selain itu, beliau berkata program tersebut memerlukan RM240 untuk menampung kos seorang murid bagi setiap bulan.

Daripada jumlah tersebut, RM160 digunakan untuk kos intervensi, RM60 bagi kos operasi dan RM20 lagi untuk bahan mengajar.

Beliau berkata, mereka yang ingin menyalurkan sumbangan dan tajaan boleh melayari laman web untukmalaysia.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.