KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih KPJ Healthcare Bhd melonjak kepada RM51.90 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2023 daripada RM22.14 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun kewangan 2022.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, KPJ menjelaskan, perolehan pula meningkat kepada RM828.98 juta daripada RM641.64 juta, kenaikan sebanyak 29 peratus, bagi tempoh yang sama.

"Keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi suku ini adalah sebanyak RM190.2 juta, 27 peratus lebih baik daripada RM150.3 juta yang dicatatkan pada suku sama sebelumnya.

"Keuntungan sebelum cukai pula menunjukkan prestasi cemerlang dengan RM77.6 juta, peningkatan sekali ganda daripada RM38.4 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022. Prestasi yang lebih baik ini didorong terutama oleh prestasi daripada segmen Malaysia," jelasnya.

Menurut KPJ, perolehan lebih tinggi sebanyak RM828.98 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2023 adalah susulan peningkatan lawatan pesakit dan kadar penghunian katil masing-masing kepada 821,126 pesakit daripada 786,421 pesakit dan 70 peratus daripada 48 peratus.

"Segmen Malaysia menyumbang peningkatan perolehan sebanyak RM182.1 juta pada suku ini kepada RM800.7 juta daripada RM618.6 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022. Kenaikan ini mewakili 97 peratus daripada jumlah kenaikan bagi syarikat ini," tambahnya.

KPJ kekal optimis dengan potensi pertumbuhan segmen pelancongan kesihatan dengan lebih banyak ketibaan pelancong dijangka pada 2023.

"Kami menjangkakan penstabilan beransur-ansur bagi peningkatan pasaran domestik. Tumpuan kami kekal kepada inisiatif yang bertujuan meningkatkan kecekapan, kapasiti tambahan operasi yang diperkenalkan pada 2022, dan meningkatkan intensiti perolehan dengan menyediakan perkhidmatan khusus," menurutnya.

Dividen interim satu peringkat sebanyak 0.65 sen bagi setiap saham biasa yang akan dibayar pada 4 Julai, 2023. - BERNAMA