SERDANG: Seramai 700 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) menerima bantuan komputer riba dan bantuan data berjumlah RM800,000 pada Majlis Bersama Naib Canselor dan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu bagi sesi 2022/2023.

Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, inisiatif berkenaan bagi membantu para pelajar dalam kumpulan berkenaan untuk meneruskan pengajian dan kelangsungan hidup semasa berada di kampus.

Daripada jumlah tersebut, seramai 100 pelajar menerima komputer riba dengan nilai bantuan sebanyak RM300,000 hasil sumbangan daripada kakitangan universiti menerusi Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN).

"Selain itu, bantuan data bernilai RM500,000.00 kepada 600 pelajar hasil inisiatif Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC). Sebanyak RM300,000 hasil inisiatif Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) dan RM200,000 lagi daripada inisiatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP).

“Bantuan ini saya berharap sedikit sebanyak akan menjadi pemangkin semangat para pelajar baharu untuk berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh dan dimanfaatkan semasa pengajian di kampus untuk berjaya di masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama, Mohd Roslan berkata UPM turut melancarkan Putra Voucher, iaitu konsep bantuan pembelian makanan di kafe dalam kampus UPM menggunakan aplikasi di telefon.

Inisiatif tersebut, ujar beliau akan memberi manfaat kepada pelajar kalangan B40 di pelbagai peringkat tahun pengajian.

Seramai 3,553 pelajar baharu program Sarjana Muda mendaftar di UPM hari ini bagi sesi akademik 2022/2023, terdiri daripada 1,116 pelajar lelaki dan 2,437 pelajar perempuan.