TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membantu memantapkan lagi pengajaran Bahasa Melayu di Tashkent State University Of Oriental Studies (TSUOS), Uzbekistan melalui perjanjian persefahanan (MoU) yang ditandatangani pada Sabtu.

Dalam majlis menandatangani MoU itu yang dijalankan secara dalam talian, UPSI diwakili Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff manakala TSUOS diwakili Rektor, Dr Gulchekh Rikhsiyeva Shavkatovna.

Md Amin berkata, hubungan antara kedua-dua universiti itu telah terjalin sejak 2017 dan UPSI telah menghantar seorang pensyarah dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi pada 2019 untuk membantu memantapkan pengajaran Bahasa Melayu kepada penuntut di TSUOS.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, beliau berkata, dalam usaha mengeratkan lagi kerjasama, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperbaharui persefahaman bagi tempoh lima tahun lagi.

Turut menyaksikan majlis menandatangani MoU itu ialah Duta Besar Malaysia di Uzbekistan, Hendy Assan; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI Prof Dr Marzita Puteh; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Prof Madya Dr Maizura @ Mastura Muhammad; Pro-rektor Hubungan Antarabangsa TSUOS, Dr. Nodir Abdullaev serta Ketua Jabatan Hubungan Antarabangsa TSUOS, Dr. Avazmuhammad Muhsivov.

Sementara itu, Dr Gulchekhra Rikhsiyeva Shavkatovna berkata, menerusi MoU itu, hubungan kerjasama kedua pihak akan diperkukuhkan lagi untuk memajukan bidang pengajian Bahasa Melayu di TSUOS.

Menurutnya, hubungan itu turut melibatkan program mobiliti pelajar dan staf akademik, penyeliaan bersama untuk program pascasiswazah serta syarahan, penyelidikan dan penerbitan bersama.

“Kami juga ingin melaksanakan program profesor atau pensyarah pelawat, juga menjayakan persidangan, bengkel dan latihan serta lain-lain bidang yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak,“ katanya.

Menurutnya, setakat ini TSUOS mempunyai lebih 50 mahasiswa yang mempelajari Bahasa Melayu sebagai bahasa utama di samping mereka turut mendalami sastera, sejarah, budaya, politik dan ekonomi berkaitan Malaysia.

Katanya, seramai enam mahasiswa yang tamat pengajian sarjana Bahasa Melayu di negara itu, telah dilantik sebagai guru Bahasa Melayu di TSUOS.