Polis memberi tumpuan kepada tiga negeri - Johor, Selangor dan Kuala Lumpur - dalam siasatan kertas soalan Ujian Penilaian Sekolah rendah (UPSR) yang didapati bocor, Berita Harian hari ini melaporkan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Low Hong Soon berkata tiga negeri itu dikenal pasti berdasarkan maklumat yang dikumpul setakat ini.

Beliau berkata satu pasukan petugas sedang menyiasat kebocoran kertas soalan dari segenap aspek di tiga negeri tersebut.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan memberi tumpuan kepada negara-negara lain jika kita ada maklumat tambahan mengenai kebocoran kertas soalan itu," katanya kepada akhbar itu.

Beliau berkata adalah terlalu awal untuk mengesahkan jika kebocoran itu dilakukan melalui aplikasi mudah alih WhatsApp.

"Mungkin ya, mungkin tidak. Masih terlalu awal untuk mengatakannya kerana siasatan masih berjalan, "katanya lagi.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata episod hitam kebocoran kertas soalan UPSR ini seharusnya menjadi iktibar kepada semua.

Ekoran insiden ini, Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuatkuasa serta merta.

Muhyiddin berkata Na'imah terpaksa mengambil tanggungjawab ke atas insiden kedua-dua kertas UPSR bocor itu kerana ia memberi kesan terhadap integriti kementerian dan peperiksaan awam.

Sementara itu, Kosmo melaporkan bahawa kerajaan terpaksa berbelanja berjuta-juta ringgit untuk set baru kertas soalan UPSR Sains dan Bahasa Inggeris.

Menurut akhbar itu, amaun tersebut termasuk kos kertas, logistik, elaun pengawas dan kos berbangkit yang lain.

Akhbar itu juga menganggarkan bahawa kerajaan terpaksa membayar lebih RM3 juta sehari sebagai elaun untuk 51,438 pengawas peperiksaan yang bertugas.