Pembangkang perlu berhenti mempolitikkan isu Kampung Baru semata-mata untuk meraih sokongan penduduk kawasan itu menjelang Pilhan Raya Umum ke-14.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tindakan tersebut dilihat sebagai cubaan untuk menawan hati penduduk di kawasan yang dibangunkan oleh BN.

“Pemimpin daripada pihak pembangkang yang datang nak bertanding tetapi tidak faham (isu di Kampung Baru) menuduh macam-macam. Yang datang (pembangkang) hanya lima tahun sekali terus nak jadi hero dan nak ‘sekolahkan’ kita.

“Saya juga nak ‘sekolahkan’ mereka sedikit. Tanah Kampung Baru ini bukan tanah setinggan. Kalau tanah setinggan senang dibangunkan. Ini adalah tanah lot yang mempunyai pewaris,” katanya di sini hari ini.

Johari yang juga penyandang kerusi Parlimen Titiwangsa berkata, pembangunan di Kampung Baru hanya boleh dilaksanakan setelah mendapat persetujuan kesemua waris.

Johari mengulas mengenai tuduhan pembangkang terhadapnya termasuk isu tidak membina lot parkir di kawasan itu.

Terdahulu, Johari merasmikan majlis kesyukuran projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad 2018 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, Johari menyerahkan replika kunci kediaman kepada Junayer Sukiman, 69, yang siap untuk diduduki setelah pembinaannya dilakukan TNB awal bulan lepas.

Rumah Junayer sebelum ini adalah antara 15 rumah yang musnah dalam kebakaran di Jalan Raja Muda Musa pada 29 Disember lalu.

Sementara itu, Junayer ketika ditemui pemberita berkata rumah baharu yang mempunyai tiga bilik itu lebih selamat untuk diduduki dan selesa.

“Rumah ini adalah peninggalan orang tua saya. Saya rasa amat bersyukur atas jasa baik Datuk Johari dan TNB. Saya tinggal di sini bersama isteri, seorang anak (ibu tunggal) dan dua orang cucu,” katanya.