IPOH: Kerajaan Negeri Perak akan meneruskan usaha bagi memulihara khazanah marin secara lebih khusus di perairan gugusan Pulau Sembilan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Taman Negeri Pulau Sembilan merupakan salah satu daripada khazanah negeri yang tidak terhitung nilainya kerana memiliki keindahan yang menakjubkan selain amat terkenal dengan kekayaan dan kepelbagaian biodiversiti marin.

Menurutnya, dunia pelancongan turut mengesahkan pantai Pulau Sembilan mempunyai keunikannya yang tersendiri dengan bercahaya biru pada waktu malam yang digelar 'Blue Tear' atau 'Blue Sand'.

“Difahamkan juga, Pulau Sembilan ini menjadi syurga kepada beberapa spesis kuda laut dan terumbu karang yang sudah hampir pupus.

“Terumbu karang dari jenis diploastrea heliopora yang dikategorikan sebagai hampir pupus masih boleh didapati di Pulau Payung, Pulau Lalang dan Pulau Nipis,” katanya.

Beliau menyampaikan sembah ucapan sempena majlis penyampaian sijil penghargaan program Hari Konservasi Pulau Sembilan 2023 yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, hari ini.

Menurutnya, keunikan dan keindahan itulah yang menuntut komitmen semua pihak untuk sama-sama menyayangi dan memelihara khazanah itu daripada rosak atau musnah angkara perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya tidak dijaga dan dipulihara, kekayaan biodiversiti marin di Pulau Sembilan ini sudah tentu akan mengalami kemerosotan dan kepupusan,” ujarnya.

Menteri Besar berkata, dewasa ini, ekosistem marin berdepan pelbagai ancaman sama ada melibatkan akibat aktiviti manusia mahu pun ancaman semulajadi.

Di samping itu, katanya, isu perubahan iklim turut memberi kesan kepada lautan dan ekosistem marin akibat peningkatan dan pengasidan air laut, kelunturan karang serta hakisan pantai.

Menurutnya, bersandarkan kesedaran itu, Perbadanan Taman Negeri Perak mengambil inisiatif mengadakan Program Hari Konservasi Pulau Sembilan, September lalu, sebagai pemula kepada pelbagai rancangan dan program konservasi.

Beliau memberitahu, hasil kolaborasi dengan pelbagai pihak, sebanyak 2,282 kilogram sampah daripada peralatan perikanan/marin, plastik, aluminium, kaca, serta bahan tidak boleh dikitar semula telah berjaya dikutip.

Selain itu, katanya, sebanyak 554 kilogram pukat hanyut turut dikumpul melalui aktiviti pembersihan bawah laut.

Saarani berkata, program konservasi sangat penting di tengah-tengah isu sampah sarap yang dilaporkan semakin meruncing serata dunia.

“Kita perlu mengambil iktibar bagaimana destinasi pelancongan terkemuka seperti Gunung Everest, Machu Picchu and Stonehenge amat terkesan akibat pembuangan sampah sarap tinggalan pelancong,” ujarnya.