KUALA LUMPUR: Usaha koloboratif adalah penting dalam menangani peningkatan ancaman serangan siber Korea Utara yang menyasarkan institusi kewangan dan pertukaran mata wang kripto di negara anggota ASEAN termasuk Malaysia, kata Menteri Luar Korea Selatan Park Jin.

"Langkah pertama dan paling penting ialah bekerjasama dalam meningkatkan kesedaran tentang aktiviti siber haram mereka.

"Untuk tujuan ini, kerajaan saya telah bekerjasama rapat dengan negara-negara ASEAN. Ia juga membimbangkan bahawa Korea Utara telah menghantar pekerja IT ke seluruh dunia termasuk ke negara-negara ASEAN dan menggunakan pendapatan mereka untuk pembangunan peluru berpandu dan nuklear.

"Kita perlu bekerjasama untuk menghantar pulang pekerja IT ini mengikut resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan," kata menteri itu dalam temu bual eksklusif dengan di penghujung lawatan rasmi dua hari di sini yang bermula Isnin (1 Mei).

Menurut data disediakan kerajaan Korea Selatan, jumlah keseluruhan mata wang kripto yang dicuri oleh Pyongyang sejak 2017 mencatatkan lebih US$1.2 bilion dan kira-kira US$626 juta pada tahun ini sahaja.

Park, pada Selasa, bertemu rakan sejawatnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menyaksikan kedua-dua pimimpin membincangkan langkah ke hadapan dalam mengukuhkan hubungan sedia ada Malaysia-Korea Selatan dan kerjasama dalam pelbagai aspek.

Agenda utama beliau adalah kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, tenaga hijau, budaya, pertahanan dan pendidikan, di samping bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Beliau juga membuat kunjungan hormat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyampaikan salam Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol kepada perdana menteri.

Terdahulu, beliau menyampaikan syarahan khas mengenai masa depan hubungan Korea Selatan-Malaysia di Universiti Malaya (UM) dan kemudian menghadiri majlis pembukaan Pameran Gelombang Korea, Hallyu anjuran kedutaan Korea Selatan di Kuala Lumpur dan Balai Seni Negara (Balai Seni Lukis Negara).

-- BERNAMA