KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi fokus kepada usaha memperkasa golongan wanita secara berstruktur.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu bagi memastikan kadar penyertaan tenaga buruh wanita mencecah 60 peratus seperti disasarkan dalam Kerangka Ekonomi MADANI.

"Usaha itu tidak hanya akan dilakukan dari sudut ekonomi semata-mata, tetapi juga merangkumi aspek perundangan, akses kepada sistem kehakiman dan juga ekosistem sokongan seperti perkhidmatan penjagaan yang berkualiti.

"Kerajaan juga telah menambah baik undang-undang, polisi dan dasar berkaitan bagi menggalakkan wanita untuk terus kekal dalam pasaran buruh. Contohnya akta baharu seperti Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) telah digubal dalam usaha menghapuskan budaya menormalisasikan gangguan seksual," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

Nancy berkata kementerian juga akan memberikan fokus kepada pembangunan industri penjagaan bagi membantu wanita mengatasi cabaran serta dilema dalam mengimbangi keperluan kerjaya dan tanggungjawab menjaga keluarga.

-- BERNAMA