KUALA LUMPUR: Bilangan kes HIV baharu dalam negara berjaya diturunkan kepada 3,146 kes pada 2020 atau pada kadar 9.31 kes bagi setiap 100,000 penduduk berikutan pelbagai usaha pencegahan, kawalan, rawatan dan jagaan yang dilaksanakan kerajaan sejak lebih tiga dekad lepas.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, penurunan itu melibatkan kadar notifikasi sebanyak 66 peratus berbanding tahun 2002 yang menyaksikan bilangan kes HIV baharu tertinggi iaitu 6,978 kes atau pada kadar 28.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

"Negara juga telah dapat mengekalkan kadar jangkitan vertikal HIV daripada ibu kepada anak di bawah dua peratus dan memastikan ia tidak menjadi ancaman kesihatan awam," katanya dalam kenyataan di sini sempena Sambutan Hari AIDS Sedunia 2021 hari ini.

Khairy berkata pelaksanaan program pengurangan mudarat sejak Oktober 2005 dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) khususnya Majlis AIDS Malaysia (MAM) juga berjaya mengurangkan jangkitan HIV/AIDS dalam kalangan penagih dadah, yang pernah menjadi punca utama jangkitan HIV/AIDS di negara ini.

Menurutnya peratusan jangkitan HIV baharu dalam kalangan mereka yang menyuntik dadah juga telah menurun daripada 74.2 peratus atau 5,176 kes pada 2002 kepada 3.9 peratus atau 122 kes tahun lepas.

Katanya, pemberian ubat antiretroviral (ARV) kepada mereka yang hidup dengan HIV juga telah ditingkatkan daripada 28 peratus pada 2015 kepada 58 peratus tahun lepas, namun angka itu masih rendah jika dibandingkan dengan sasaran 90 peratus dalam usaha negara mengakhiri AIDS.

Khairy berkata selari dengan hasrat tema sambutan tahun ini iaitu 'Akhiri ketidaksamarataan, Akhiri AIDS, Akhiri pandemik', kerajaan akan terus menambah baik perkhidmatan kesihatan bagi memastikan orang awam, kumpulan populasi tumpuan, dan mereka yang menjalani hidup dengan HIV terus menikmati perkhidmatan HIV/AIDS dan kesihatan yang lain termasuk COVID-19.

"Perkhidmatan HIV/AIDS melalui perkhidmatan HIV terbeza untuk kumpulan populasi tumpuan (ENG:differentiated HIV services for key populations) atau yang dilaksanakan di klinik kesihatan dengan NGO akan terus diperkukuh dan diperluaskan.

"Ini bagi memastikan semua lapisan masyarakat terutamanya kumpulan populasi tumpuan mendapat akses kepada pencegahan, pengujian, rawatan dan jagaan HIV/AIDS serta penyakit lain seperti hepatitis C, jangkitan kelamin, tuberkulosis dan COVID-19," katanya.

Bagi merealisasikan matlamat Akhiri AIDS 2030, Khairy menyeru semua pihak menggembleng tenaga menangani HIV/AIDS serta isu-isu yang berkaitan, selain mengingatkan mereka yang hidup dengan HIV sentiasa mengamalkan normal baharu bagi mencegah dan membendung penularan jangkitan COVID-19.

"Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada MAM yang menerajui program-program pencegahan HIV di peringkat akar umbi dengan kerjasama NGO di bawah naungan MAM.

"KKM akan terus memperkukuhkan "Government NGO Partnership" bagi merealisasikan agenda Akhiri AIDS 2030 dengan beberapa inisiatif seperti Ujian Saringan HIV Secara Kendiri, memperluaskan program Model Klinik Kesihatan di seluruh negara dan meningkatkan capaian rawatan dan perubatan antiretrovial (ARV)," katanya.

-- BERNAMA