Letupan gas Putra Heights: "Ini Deepavali pertama bukan di rumah sendiri" - Penduduk

Shankar yang sudah 15 tahun menetap di kawasan itu memaklumkan dia sekeluarga menunggu proses baik pulih kawasan kejiranan selesai sebelum dapat pulang ke kediamannya. - Foto Astro AWANI
SUBANG JAYA: Kejadian letupan paip penghantaran gas pada 1 April lalu telah menyebabkan kebakaran besar yang meranapkan puluhan rumah di kawasan kejiranan Topaz dan Citrine di Taman Putra Harmoni, Putra Heights, di sini.
Ringkasan AI
- Letupan paip gas pada 1 April di Putra Heights menyebabkan kebakaran besar yang memusnahkan 81 rumah sepenuhnya, 81 separa musnah dan mencederakan penduduk, termasuk seorang yang melecur tahap kedua.
- Penduduk masih trauma dan terpaksa menyewa rumah sementara menunggu proses baik pulih kawasan, walaupun menerima bantuan bulanan RM2,000 daripada kerajaan negeri.
- Kebakaran berpunca daripada paip penghantaran gas dengan api menjulang setinggi 30 meter dan suhu mencecah 1,000C, mengambil masa lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Tambah Shankar dia sudah 15 tahun menetap di kawasan itu dan memaklumkan dia sekeluarga menunggu proses baik pulih kawasan kejiranan selesai sebelum dapat pulang ke kediamannya.
Jelasnya lagi, sebelum insiden berlaku, dia dan keluarga berasa aman dan seronok tinggal di kawasan itu.
"Kawasan perumahan di sini memang bagus. Saya dan keluarga seronok tinggal di sini, anak-anak pun tidak mahu keluar dari sini. Mereka mahu balik ke sini.
"Kami masih menunggu sebab kawasan sini condition masih belum baik lagi, sangat teruk, kita tidak mahu pindah ke sini dulu memandangkan keadaan jalan dia pun belum sesuai untuk didiami," katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Kamaljit Singh memaklumkan, dia sebelum ini terpaksa dimasukkan ke hospital selepas mengalami lecur di bahagian kaki akibat insiden itu.
"Saya berada di hospital lebih kurang hampir dua bulan. Saya dapat cuti sakit selama empat bulan. Doktor kata saya melecur second degree. Setakat hari ini kita menanti kita melihat.
"Betul kita dapat bantuan daripada pihak kerajaan negeri RM2,000 setiap bulan, kita berterima kasih kepada mereka tapi pada masa yang sama, kecederaan yang kita alami, ini life long scar, we did not ask for it (kami tidak minta ini). Kita tidak minta ada parut ini terutama di bahagian kaki saya. Ramai daripada kami, sengsara," katanya.

Kamaljit Singh memaklumkan dia sebelum ini terpaksa dimasukkan ke hospital selepas mengalami lecur di bahagian kaki akibat insiden itu. - Foto Astro AWANI
Pada 1 April lepas, insiden kebakaran saluran paip gas di kawasan itu menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Insiden itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami