KUALA LUMPUR: Usaha memperhebatkan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Malaysia perlukan kerjasama semua pemegang taruh termasuk sektor awam, industri, penyelidik dan masyarakat sivil.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata melalui kerjasama seperti itu serta kombinasi pembelajaran formal dan tidak formal yang disokong oleh pendekatan seluruh kerajaan, berupaya menarik minat generasi muda terhadap STEM.

"Komitmen berterusan kerajaan dalam pembangunan bakat sains, teknologi dan inovasi (STI) ini jelas diperlihatkan melalui RM100 juta yang telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 bagi memperkasakan pembelajaran STEM dalam sektor pendidikan lantas menyumbang kepada kelahiran generasi masa hadapan yang mahir STEM, berkualiti tinggi dan berdaya saing," katanya ketika berucap merasmikan penutupan pertandingan akhir National Science Challenge (NSC) 2023 anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) di sini hari ini.

Bertemakan 'Menjamin Sekuriti Makanan Negara Melalui Sains, Teknologi dan Inovasi (STI)', NSC 2023 telah merekodkan penyertaan sebanyak 9,888 kumpulan dengan pembabitan 29,664 pelajar dari seluruh negara.

NSC 2023 juga menyaksikan peningkatan penyertaan daripada 412 sekolah pada tahun lepas kepada 855 sekolah pada tahun ini melibatkan 660 sekolah di kawasan bandar dan 195 sekolah luar bandar.

Mengulas mengenai program itu Arthur berkata melalui NSC 2023, para pelajar didedahkan kepada kepentingan keberadaan makanan selamat, gaya pemakanan sihat serta keperluan negara bersiap siaga dalam memastikan bekalan makanan negara mencukupi untuk menghadapi situasi di luar jangkaan.

"Malaysia kini berada pada tangga ke-41 dalam Indeks Keterjaminan Makanan Global 2022 dari 113 negara dengan skor 69.9. Untuk memperbaiki kedudukan ini, strategi jangka panjang dalam mengukuhkan industri agromakanan diperlukan, dengan STI memegang peranan penting dalam menawarkan solusi," katanya.

Arthur berkata beliau percaya pertandingan itu akan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat umum terutamanya generasi muda tentang krisis sekuriti makanan global dan berfungsi sebagai platform untuk mendorong kreativiti dan inovasi pelajar dalam mencari solusi keterjaminan makanan di Malaysia dan dunia.

Sementara itu, Presiden ASM Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim berkata minat generasi muda kepada STEM perlu dipupuk melalui inisiatif yang berpaksikan keperluan masyarakat secara strategik.

"Untuk menyokong transformasi strategik bagi menarik minat generasi muda kepada bidang STEMseterusnya membudayakan sains dalam masyarakat, pada tahun ini ASM telah melaksanakan National Science Challenge (NSC), Kembara Sains Borneo, Sesi Webinar FAScinate dan TropScience, ArtScience, E-Estidotmy, Cabaran Ceritera Sains dan Program Borak Sains 'Young Scientist Network-ASM'," katanya.

Tengku Mohd Azzman yang juga Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara berkata NSC telah diperkenalkan sejak 1983 sebagai kuiz sains kepada sekolah-sekolah di Malaysia.

Pada 1999, ASM mengambil alih peranan sebagai penganjur NSC dengan program ini telah menjadi satu daripada pertandingan sains kebangsaan yang memberikan cabaran berasaskan standard tinggi kepada pelajar sekolah menengah Tingkatan Satu hingga Empat.

Lima pasukan yang bertanding di Peringkat Akhir NSC 2023 adalah SMJK Chung Hwa (CF) Kelantan, SMK Infant Jesus Convent (M) Johor, Kolej Yayasan Saad Melaka, SMJK Jit Sin (CF) Pulau Pinang dan SMJK Kwang Hua Selangor.

Kolej Yayasan Saad Melaka merangkul kejuaraan yang membawa pulang wang tunai RM3,000, Piala Pusingan YAB Perdana Menteri, lawatan sambil belajar ke luar negara, alatan, biasiswa pendidikan dan sijil penyertaan.

NSC 2023 mendapat sokongan daripada rakan kongsi strategik iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Petrosains Sdn Bhd, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Sasbadi Online Sdn Bhd dan Young Scientists Network-ASM (YSN-ASM).

-- BERNAMA