Pulau Tioman antara lokasi teruk terjejas apabila dilanda banjir buruk pada akhir tahun lalu.

Jabatan Laut Pahang sebelum ini mengesan antara yang musnah akibat banjir buruk itu ialah batu-batu karang di laut yang menjadi khazanah dan tumpuan pelancong apabila melawat ke pusat peranginan itu.

Sejak ia dikesan terjejas akibat banjir, usaha memulihkan eko-sistem pulau berkenaan giat dijalankan kerajaan negeri dan pihak berkuasa.

Antara usaha berterusan itu, termasuk penanaman semula anak pokok kayu bakau di kawasan Kampung Nipah, salah sebuah perkampungan yang ada di Pulau Tioman. Kawasan lain yang turut terjejas dilanda banjir sebelum ini ialah Kampung Juara, Tekek dan Batang Air.

Bagi tujuan baik pulih Pulau Tioman daripada hakisan, lebih 500 anak pokok ditanam oleh 47 peserta program Bubble Camp 2015. Mereka menyertai kem itu selama empat hari sepanjang cuti sekolah baru-baru ini.

“Tanaman semula pokok bakau itu adalah antara aktiviti di kem tersebut dan ia diharap menjadi usaha yang baik sebagai pendedahan awal kepada para pelajar untuk terus menjaga alam sekitar seterusnya memulihara khazanah asli khususnya di Pulau Tioman,’’ kata Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Tioman, Datuk Kapten (B) Johari Hussein semasa merasmikan Program Menanam Semula Pokok Bakau Pasca Banjir di Pulau Tioman.

Sementara itu, ahli biologi marin, Yana Abdullah, berkata, kanak-kanak perlu diberi pendidikan awal tentang kepentingan mengelak hakisan akibat daripada bencana banjir.

“Itulah sebabnya, penting untuk pelajar seawal usia sekolah rendah mengetahui peranan pokok kayu bakau dalam mengelakkan hakisan daripada berlaku.

“Usaha menanam semula 500 pokok kayu bakau oleh pelajar sekolah ini dilihat usaha murni untuk memastikan tidak berlaku lagi hakisan sekali gus menghancurkan eko-sistem di Pulau Tioman,’’ kata Yana yang juga merupakan isteri kepada pengusaha chalet Nipah Neema di Kampung Nipah.

Semasa banjir buruk pada akhir Disember lepas di mana fenomena air pasang bertembung dengan hujan lebat menyebabkan berlaku runtuhan tanah di kawasan kampung dan membawa bersama puluhan kayu balak serta sampah sarap lain.

Pulau Tioman
Jabatan Laut Pahang sebelum ini mengesan antara yang musnah akibat banjir buruk ialah batu-batu karang di laut yang menjadi khazanah dan tumpuan pelancong - Foto Astro AWANI/Azlinariah Abdullah

Runtuhan tanah itu turut menyebabkan lebih separuh pokok kayu bakau yang hidup di paya sekeliling pulau musnah sepenuhnya.

Dalam pada itu Pengarah Program Bubble Camp 2015, Syed Rizalman Syed Abu Bakar berkata, selain menanam pokok kayu bakau, peserta yang terdiri pelajar seawal usia 9 hingga 15 tahun turut terlibat membersihkan kawasan sepanjang pantai di Kampung Nipah dan kawasan lain yang terjejas kerana banjir sebelum ini.

Pulau Tioman
Bagi tujuan baik pulih Pulau Tioman daripada hakisan, lebih 500 anak pokok ditanam oleh 47 peserta program Bubble Camp 2015. - Foto Astro AWANI/Azlinariah Abdullah

Menurutnya, program berkenaan dengan pengisian aktiviti dirancang diyakini member kesan positif kepada industri pelancongan di Tioman selain mampu membentuk sahsiah dan keprihatinan pelajar terhadap alam sekitar.

“Pada akhirnya, kita berharap, pelajar-pelajar yang menjadi peserta Bubble Camp 2015 cukup sedar dengan tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar, khususnya menjaga pantai dan khazanah dasar laut,’’ kata Syed Rizalman.

Selain membersihkan kawasan sepanjang pantai Pulau Tioman, peserta didedahkan dengan aktiviti di darat dan laut termasuk snorkeling serta menyelam selain lawatan ke Taman Laut bagi memastikan mereka mendalami tentang hidupan di laut.