Usaha pupuk sahsiah dan adab perlu bermula dari rumah - Tokoh Pendakwah Selangor

"Apa yang berlaku pada hari ini khususnya gejala buli pada peringkat bangku sekolah, boleh dikatakan sebahagian besar bermula daripada kegagalan didikan penjaga mereka di rumah," ujar Rohiyah @ Zainab. - Bernama
SHAH ALAM: Penerima Anugerah Tokoh Pendakwah Negeri Selangor 2025 Rohiyah @ Zainab Taib, mengingatkan bahawa usaha memupuk sahsiah serta adab dalam kalangan generasi muda perlu dimulakan dari rumah, di bawah kendalian ibu bapa masing-masing.
Beliau yang sudah lebih 40 tahun bergelar pendidik dan pendakwah berkata, apa yang berlaku pada hari ini khususnya gejala buli pada peringkat bangku sekolah, boleh dikatakan sebahagian besar bermula daripada kegagalan didikan penjaga mereka di rumah.
"Saya hendak cakap dengan ibu bapa semua supaya mengasuh anak-anak dengan baik di rumah. Hal ini kerana yang 'meyahudikan' dan 'menasranikan' anak-anak ialah ibu bapa sendiri (kurang perhatian dan mendedahkan anak dengan sumber negatif).
"Walaupun cabaran generasi muda di bandar agak berbeza dengan mereka yang membesar di kampung, perkara tidak diingini tetap boleh berlaku sekiranya ibu bapa tidak memainkan peranan sepatutnya," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2025 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Rohiyah yang kini berusia 81 tahun berkata beliau tidak pernah mengambil berat terhadap kesilapan yang pernah dilakukan anak didiknya, kerana ia antara cabang untuk memahami kehidupan, di samping membuka ruang untuk mereka sedar sama ada tindakan mereka betul atau tidak.
Beliau berkata golongan ibu bapa, perlu mendidik anak-anak mereka bahawa sifat pemarah atau berkasar tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat, melainkan kemudaratan kepada diri sendiri termasuk orang lain.
"Sekiranya mereka melakukan kesilapan saya akan diamkan dahulu, sebelum saya bertanyakan tentang perkara itu ketika mereka tidak lagi berada dalam keadaan marah dan mampu berfikir secara waras.
"Tujuannya supaya dia itu sedar yang berkasar tidak akan dikira sebagai pemenang. Kita mahu mereka ini berlembut, kerana berlembut bukan dikira sebagai kalah," katanya.
Selain itu, Rohiyah turut berpesan kepada orang ramai untuk menyedari kepentingan menimba ilmu dengan cara berguru, meskipun pelbagai maklumat boleh didapati di Internet atau media sosial.
Dalam pada itu, beliau berkata kesemua pemegang tauliah di Selangor menggunakan kaedah mengajar berdasarkan modul yang dirangka Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), yang diyakini dapat memastikan setiap pelajar sama ada generasi muda atau tua memahami pengertian sesuatu ilmu yang ingin dipelajari.
Rohiyah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Pendakwah Negeri Selangor 2025 (Kategori Wanita), yang disampaikan Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin sempena Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2025, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar dalam memartabatkan dakwah Islamiah di negeri itu.
Sementara Ahmad Zaki Arsad dinobatkan sebagai Tokoh Pendakwah Negeri Selangor 2025 (Kategori Lelaki), dengan kedua-dua mereka menerima RM10,000, trofi dan sijil penghargaan.
Terdahulu, Salehuddin diiringi Mufti Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tauliah MAIS Datuk Dr Anhar Opir, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah serta Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar, menyempurnakan majlis pelancaran Modul Pengukuhan dan Profesionalisme Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


