KUALA LUMPUR : Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) berjaya menyumbang RM21 juta kepada ekonomi negara pada tahun 2022 melalui 38 program bimbingan melibatkan Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), Online Onboarding Coaching Programme (E-Board), Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.

Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata, laporan pencapaian tahun 2022 juga menunjukkan, INSKEN berjaya melatih 21,385 usahawan melalui 502 program latihan dan bimbingan yang melebihi daripada sasaran awal iaitu 13,390 usahawan dan 422 program.

"INSKEN sentiasa mengekalkan momentum kecemerlangan seumpama ini kerana program-program yang dilaksanakan adalah berasaskan keperluan semasa usahawan. Pelbagai kisah kejayaan telah dibuktikan bukan sahaja melalui laporan pencapaian tahunan, malah turut diakui oleh usahawan- usahawan yang menyertai program anjuran INSKEN," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau percaya dengan kesungguhan INSKEN membantu usahawan di seluruh Malaysia, lebih ramai usahawan akan dapat memajukan perniagaan dan seterusnya membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) merupakan antara program utama yang dapat diukur keberkesanannya. Tahun lalu telah menyaksikan Noraziran Taip, yang menjalankan perniagaan jahitan berjaya meningkatkan hasil jualan sehingga 255% dalam jangka masa empat bulan mengikuti program ini," ujarnya.

Menurutnya, faktor penyumbang kepada peningkatan itu adalah apabila beliau mengubah susun atur perniagaan menjadi lebih sistematik dan menjalankan aktiviti pemasaran digital.

"Secara keseluruhan, Program IBBC telah menghasilkan RM18.5 Juta nilai peningkatan jualan keseluruhan pada tahun 2022,  menjadikannya sebagai penyumbang terbesar kepada pencapaian INSKEN. Program Bimbingan Pembangunan Produk pula merekodkan RM 295 Ribu nilai peningkatan jualan, manakala, Program Bimbingan Keuntungan Menu mencatatkan RM 794 Ribu pada tahun lalu," tambahnya.

Selain program bimbingan, INSKEN turut melaksanakan program latihan jangka masa pendek yang memberi fokus kepada jualan dan pemasaran, kewangan, operasi serta pengurusan perniagaan.

"Tahun lalu, 391 program latihan telah dianjurkan yang memanfaatkan 18,695 usahawan di seluruh Malaysia. Walaupun program jangka masa pendek ini menggunakan pendekatan yang berbeza daripada program bimbingan, namun pelbagai pencapaian masih dapat dilihat melalui pelaksanaannya. Tuan Noor Aziba telah berjaya mendapat kelulusan RM100,000.00 untuk memajukan perniagaan ternakan lembu selepas mengikuti Kursus Asas Keusahawanan (KAK) anjuran INSKEN," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin yakin sasarannya tahun lalu untuk membantu lebih ramai usahawan mikro dan tidak formal tercapai apabila melihat laporan pencapaian tahun 2022.

"Tahun lalu, INSKEN telah melaksanakan 311 program kolaborasi bersama agensi seperti AIM, Tekun Nasional, Perbadanan Usahawan Nasional (PUNB) dan Professional Training And Education For Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ).

Justeru, INSKEN akan terus melaksanakan kesemua program latihan dan bimbingan yang sedia ada tahun ini dengan penambahan dua program baharu iaitu Program Urus Kewangan Untuk Perniagaan Kecil dan Kursus Asas Pembangunan Produk dan Servis (KAPPS).

"INSKEN juga mensasarkan untuk melatih 7,940 usahawan melalui 225 program latihan dan bimbingan. INSKEN turut mengalu-alukan kolaborasi di antara kementerian dan agensi dalam usaha membantu memantapkan ekosistem keusahawanan negara," ujarnya.