Usahawan itik jana hasil jualan hampir RM2 juta
SEREMBAN: Ketika kebanyakan anak muda mengejar peluang dalam bidang digital dan teknologi, seorang bekas pembantu tadbir di sebuah sekolah memilih untuk membina empayar penternakan itik telur dan daging, yang kini menjadi antara pengeluar utama di Negeri Sembilan.
Ringkasan AI
- Bekas pembantu tadbir di sekolah memilih membina empayar penternakan itik telur dan daging di Negeri Sembilan, mencapai hasil jualan hampir RM2 juta tahun ini.
- Azwan Zainudin, 35 tahun, dari hanya 100 ekor itik pada 2020 kini menguruskan 1,000 ekor itik penelur di ladang 1.15 hektar di Kampung Kayu Ara, Mambau.
- Azwan terima sokongan kerajaan negeri dan agensi, menerima bantuan mesin, bekalan dedak, geran, dan pinjaman bank untuk memperkuat perniagaannya.
"Saya bermula dengan sekadar hobi. Saya pernah buka gerai makanan di tepi jalan di Rasah sebelum mengusahakan sebuah kafe dan restoran namun kerana COVID-19, perniagaan itu terpaksa ditutup. Ketika itu saya mula memikirkan hala tuju baharu yang lebih stabil.
"Keputusan memilih penternakan itik ini selepas melihat potensi permintaan berterusan terhadap telur segar, selain ruang pasaran yang luas serta penjagaan haiwan itu lebih senang. Arwah bapa saya dahulu juga ada membela itik, jadi sudah biasa dengan hal berkaitannya," katanya kepada Bernama.
Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata pada peringkat awal, beliau membiayai kos pembelian itik, makanan dan pembinaan reban menggunakan wang sendiri selain bekerja sambilan sebagai pemandu peribadi bagi menyokong operasi ladang ternakannya.
"Enam bulan pertama adalah paling sukar kerana menunggu itik mula bertelur, ditambah pula ketika musim COVID-19 banyak restoran tidak beroperasi. Saya cuba menjual telur segar kepada peniaga bahan asas tetapi permintaan tidak tinggi," katanya.
Bagi mengelakkan kerugian, anak kelahiran Seremban itu mengambil inisiatif memproses sebahagian telur itu menjadi telur masin menggunakan kaedah jeruk air garam yang lebih tahan lama dan mudah dipasarkan.
Azwan tidak menafikan sokongan kerajaan negeri dan agensi berkaitan turut memainkan peranan penting dalam mengukuhkan perniagaannya, selain turut menerima geran daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan Tabung Usahawan Negeri Sembilan pada 2023 serta pinjaman daripada bank.
"Saya juga turut menerima bantuan mesin membasuh telur serta bekalan dedak daripada Jabatan Veterinar negeri, selain mereka juga turut membuat pemeriksaan terhadap ternakan setahun sekali," katanya yang turut dibantu dua pekerja sambilan.
Di sebalik kejayaan dikecapi, Azwan mengakui pernah berdepan cabaran besar termasuk kerugian kira-kira RM40,000 apabila ladangnya dimasuki babi, sekali gus merosakkan struktur reban hingga menjejaskan pengeluaran telur dan memaksanya menghentikan operasi selama dua bulan pada 2022.
Selain itik penelur, Azwan turut mengusahakan ladang itik pedaging di Jelebu sejak awal tahun ini, dengan pengeluaran mencapai 3,000 ekor sebulan yang dibekalkan kepada restoran rantaian terkenal termasuk di Kuala Lumpur, kilang, pasar serta masyarakat setempat.
Beliau berkata telur itik dijual pada harga RM30 bagi 30 biji dan daging itik pada harga RM25 bagi 1.5 kilogram, dengan ia turut dipasarkan melalui platform dalam talian termasuk Shopee dan TikTok yang membolehkan pelanggan daripada pelbagai lokasi membuat pesanan.
Kecekalan dan pencapaian Azwan turut melayakkannya menerima beberapa pengiktirafan termasuk Ikon Usahawan Kotej Halal Negeri Sembilan 2023 selain anugerah kategori Pengembangan Perniagaan daripada Agrobank, bulan lepas.
Ditanya perancangan masa depan, beliau berharap dapat memperluas pasaran ke seluruh negara selain merancang untuk membangunkan ladang agropelancongan sekali gus membolehkan orang ramai datang dan berinteraksi dengan itik secara langsung.
Bagi golongan muda yang ingin menceburi bidang sama, Azwan menasihati mereka supaya melengkapkan diri dengan ilmu serta mempunyai minat mendalam selain membuat kajian tentang lokasi ladang yang sesuai.
"Mereka juga perlu berani mencuba, walaupun pada awalnya mungkin menghadapi cabaran besar. Jangan takut gagal kerana setiap kegagalan adalah pengalaman berharga," katanya yang turut memberi kelas penjagaan itik kepada individu berminat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami




