KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menggesa perusahaan mikro untuk menghubungi agensinya, TEKUN Nasional, bagi mendapatkan bantuan pembiayaan dan bukannya pergi kepada peminjam wang haram atau dikenali sebagai along. 

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau bimbang dengan laporan bahawa ramai usahawan pergi mencari peminjam wang haram dan bukannya agensi kerajaan yang dilantik untuk meminjam wang bagi mengekalkan perniagaan mereka.

Menurutnya, sejak menerajui kementerian itu tahun lepas beliau telah memastikan proses permohonan pinjaman di bawah TEKUN dipermudahkan dengan kurang kertas kerja dan masa pemprosesan yang lebih singkat.

"Malahan mereka yang disenarai hitam oleh CTOS dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) juga layak untuk memohon.

"Bagi mereka yang perlu meminjam wang bagi tujuan perniagaan, sila cari kami dan bukan along. Kadar faedah kami jauh lebih rendah dan kami menjaga kepentingan anda," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata program pembiayaan itu juga bertujuan memberikan peluang kedua kepada usahawan yang perniagaannya terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Menurut Wan Junaidi, TEKUN telah memperkenalkan skim pembiayaan khas bagi pengendali perniagaan informal yang dikenali sebagai Skim Pembiayaan Informal (SPIN) pada Disember tahun lepas.

Beliau berkata sejumlah RM50 juta diperuntukkan di bawah skim ini yang akan memberi manfaat kepada 10,000 perniagaan informal di seluruh negara, menawarkan pinjaman RM1,000 hingga RM5,000 dengan tempoh pembayaran semula sehingga tiga tahun.

"Setakat 16 Julai, TEKUN telah mengeluarkan pinjaman bernilai RM19.47 juta di bawah SPIN kepada 3,309 pengendali perniagaan informal di seluruh negara dengan Selangor mendahului dengan RM3.15 juta bagi 390 penerima, diikuti Sarawak RM3.04 juta (589 penerima) dan Terengganu RM2.54 juta (469 penerima)," katanya.

-- BERNAMA