KUCHING: Usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) diminta mendaftar kepada Pejabat Perdagangan dan pelancongan Sarawak Singapura (STATOS), kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chew Chang Guan.

Pendaftaran itu kata beliau adalah untuk memudahkan usaha melebarkan perniagaan IKS ke luar negara.

Jelas beliau, setiap pendaftaran juga tidak dikenakan sebarang yuran atau bayaran serta ia akan membuka peluang perjanjian import dan eksport yang menguntungkan apabila ekonomi dibuka semula di republik itu tahun ini.

“Terdapat banyak minat dalam kalangan pengimport makanan Singapura terhadap produk segar dan diproses dari Sarawak.

“Singapura kini terus mencari sumber bekalan makanan alternatif dan kedua-dua rakyat Sarawak dan Singapura mempunyai rasa makanan yang serupa," katanya hari ini.

Sehubungan itu, kata Chang Guan, STATOS menggalakkan pengeluar makanan yang berpangkalan di Sarawak untuk menghubungi pihaknya dan cuba merebut peluang perdagangan di Singapura.

“STATOS memberikan bantuan perkhidmatan perniagaan dan pemasaran secara percuma,” jelasnya lagi.

STATOS diwujudkan untuk memperkenalkan usahawan Sarawak yang proaktif kepada bakal pembeli dan pengimport dari Singapura.

Pada Disember lalu, STATOS melancarkan Skim Bantuan Promosi Di Singapura (PASS), yang membiayai pemasaran, pengiklanan, promosi produk di kedai, dan kempen kesedaran di Singapura untuk pemohon Sarawak yang memenuhi syarat.