KUALA LUMPUR: Seorang usahawan wanita berusia 50-an akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok atas kesalahan terlibat dalam aktiviti penstrukturan transaksi melibatkan wang berjumlah lebih RM230,000, kes pertama seumpamanya di negara ini.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata usahawan disyaki melakukan kesalahan itu bagi cuba mengelak transaksi berkenaan dikesan oleh pihak bank yang perlu melaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

''Pada Januari hingga Mei 2018 suspek dipercayai mengarahkan seorang individu mendepositkan wang ke dalam akaun perniagaannya dengan jumlah tidak melebihi RM50,000 secara beberapa kali pada hari sama bagi mengelak dikesan sebagai transaksi mencurigakan,'' kata sumber SPRM.

Menurutnya jumlah keseluruhan wang melebihi RM230,000 dimasukkan ke dalam akaun milik perniagaan wanita terbabit melalui beberapa pecahan transaksi.

Pihak bank perlu melaporkan kepada BNM jika terdapat transaksi kemasukan atau pengeluaran wang berjumlah melebihi RM50,000 dalam sehari dilakukan oleh pelanggan.

Bagaimanapun pihak bank yang terlibat dalam menguruskan transaksi itu tidak membuat Laporan Transaksi Tunai (Cash Threshold Report-CTR) kepada BNM kerana transaksi yang dilakukan secara berganda dalam hari yang sama adalah dibenarkan.

Jelasnya, penstrukturan transaksi atau smurfing merupakan satu teknik yang digunakan oleh penjenayah kewangan untuk memasukkan atau mengeluarkan wang tunai hasil daripada kegiatan haram di mana-mana institusi kewangan.

"Perbuatan itu merupakan satu kesalahan dan boleh dituduh di bawah Seksyen 4A(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," katanya.