KUALA KANGSAR: Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini akan menubuhkan USAS Takaful Academy sebagai pusat penyelidikan dan mercu tanda kecemerlangan dalam bidang takaful, muamalat, perbankan dan kewangan Islam.

Naib Canselor USAS Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi berkata, pusat penyelidikan itu berfungsi sebagai repositori penyelidikan, melalui pengumpulan kertas penyelidikan intelektual berkaitan takaful dalam satu pengkalan data.

Penubuhan USAS Takaful Academy direalisasikan dengan sumbangan 'endowmen' berjumlah RM10 juta daripada FWD Takaful Berhad (FWD Takaful) kepada USAS. 

"Diharap, ia dapat meningkatkan profesionalisme dalam bidang takaful.

"Kerjasama ini merupakan pelan jangka masa panjang yang baik untuk mempromosikan dan menyokong pembangunan masa hadapan USAS.

"Dana dan sumbangan yang disalurkan kepada USAS Takaful Academy dapat dimanfaatkan bagi tujuan kemajuan pendidikan, penyelidikan dan promosi," kata Nordin.

USAS dalam kenyataan hari ini berkata, sumbangan tersebut disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful, Salim Majid Zain kepada Naib Canselor USAS Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi.

Majlis diadakan di Istana Changkat, Kuala Lumpur pada Jumaat, disaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang merupakan Canselor USAS.

USAS Takaful Academy bakal menjadi badan pemikir takaful dengan mempromosikan biasiswa peringkat Doktor Falsafah dalam program takaful yang bertujuan membangunkan pemimpin pemikir.

Nordin berkata, akademi itu juga diharap dapat membangunkan barisan pemimpin takaful dengan memperkenalkan kursus Sarjana Pentadbiran Perniagaan dengan pengkhususan dalam bidang takaful.

Ia bakal dijalankan melalui konsep berkembar dengan mana-mana badan, mahupun universiti tempatan atau antarabangsa.

Selain itu, kerjasama juga akan meningkatkan kebolehpasaran graduan USAS melalui latihan dan bimbingan pakar bidang berkaitan.

Sementara itu, menurut Salim, penubuhan akademi itu menyokong visi FWD Takaful dalam usaha merubah pandangan awam mengenai takaful.

“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan USAS, sebuah universiti yang mempunyai reputasi serta visi untuk menyebarkan kesejahteraan sejagat dengan mengembalikan keagungan tradisi institusi dan ilmuan Islam, di samping menerokai ilmu-ilmu baharu.

“Kami berharap kerjasama ini dapat membangunkan kemahiran serta kapasiti anak muda di negara ini serta membentuk golongan profesional bagi industri takaful,” katanya.