KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyambut ulang tahun ke-69 hari ini.

Namun menurut Ahli Parlimen Pekan itu, usia hanyalah sekadar angka.

Malah, baginya, ia bergantung kepada sejauh mana individu itu mampu menjaga kesihatan fizikal dan mindanya.

Bagi Najib sendiri, biarpun sudah tidak boleh aktif bermain bola atau memukul bola golf seperti mana ketika usianya 20 atau 30-an, beliau akan terus berusaha menyumbang kepada negara.

“Saya merasakan walaupun saya sudah sampai umur 69, ada ungkapan "age is just a number" ia merupakan angka sahaja.

“Terpulang kepada diri kita, sejauh mana kita dapat menjaga kesihatan kita, bagaimana kita boleh menentukan kecerdasan minda kita.

"Dan sejauh mana daya juang kita untuk terus menyumbang, memberi buah fikiran, untuk kita bantu membangunkan negara kita.

"Walaupun daripada segi fizikal memang ada bezanya, umur 20-an 30-an saya boleh main bola … sekarang saya tak boleh main bola lagi.

"Kalau dulu saya pukul bola golf agak jauh sikit sekarang tak berapa jauh. Ini semua tanda-tanda kita semakin berumur,” kata Najib.

Tetapi dari segi buah fikiran, daripada segi pengalaman, komitmen, beliau menegaskan ia masih tidak tak berubah.

Najib berkata beliau boleh terus menyumbang dalam apa jua kapasiti, apa jua cara, untuk kesejahteraan rakyat, dan demi masa depan negara.

Ditanya mengenai harapannya terhadap Malaysia, negara yang pernah beliau pimpin antara 2008 hingga 2018, Najib berkata, beliau mahu melihat negara kembali berada di barisan hadapan rantau ini.

“Oleh sebab ketidakstabilan politik kita, tiga Perdana Menteri dalam empat tahun, kita lihat bahawa satu daripada indikatornya ialah FDI — foreign direct investment — yang dahulunya kita antara yang tertinggi di rantau ini, sekarang dah jatuh nombor enam atau tujuh.

“Banyak pelabur kata mereka nak tunggu dan lihat bagaimana perkembangan politik di Malaysia, dan inilah yang menyebabkan kita sekarang ini terkebelakang sikit dari segi persaingan untuk mendapatkan FDI untuk mengembangkan ekonomi negara kita,” katanya lagi.

Ditanya sekiranya beliau optimis Malaysia boleh kembali pada landasan yang tepat, Najib berkata, perkara yang paling utama untuk diselesaikan ialah kestabilan dan kepimpinan politik.