ALOR SETAR: Tindakan bekas pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk di peringkat sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengumumkan keluar daripada parti berkenaan disifatkan tidak memberikan kesan besar kepada parti itu.
Naib Ketua AMK, Dr Mohammed Taufiq Johari menjelaskan ia termasuklah melibatkan persiapan parti menerusi gabungan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Menurut beliau, PKR juga akan terus memperkuatkan akar umbi parti dan memberikan fokus kepada usaha memastikan parti itu menjadi parti pilihan pada masa hadapan.
Tambahnya, gerak kerja memperkuatkan parti bukan sahaja melibatkan strategi politik semata-mata sebaliknya ia turut melibatkan usaha untuk memastikan ekonomi negara berada dalam keadaan baik termasuk menangani krisis di peringkat global.
"Kita tidak (terkesan), parti PKR sentiasa melihat ke depan, we are moving forward, setiap individu mempunyai hak masing-masing, tetapi itu tidak memberikan kesan besar kepada parti sebab parti kita adalah parti masa depan, kita nak hala tuju kita terus maju dan mara.
"Kita terus memperkuatkan parti di peringkat akar umbi, kita terus perkuatkan kita punya ranting, aktivis, dan kekuatan di peringkat bawah khususnya kekuatan Angkatan Muda Keadilan, wanita dan juga pimpinan lain,
"Kita hendak pastikan bahawa kekuatan ini dapat berterusan, jadi dengan segala bentuk yang berlaku bagi saya kita tidak boleh terlalu melayan perkara-perkara (itu), yang penting kita maju dan mara ke hadapan, itu fokus dan keutamaan Parti Keadilan Rakyat ketika ini," jelas beliau.
Mohammed Taufiq berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kedah di Dataran Star Walk Alor Setar, di sini, malam tadi.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyatakan bahawa pimpinan PKR yang masih bersama parti akan sentiasa memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dengan memastikan aspek kebajikan mereka dapat dibela.
Sebelum ini, terdapat laporan beberapa pimpinan PKR termasuk di peringkat sayap AMK mengambil keputusan untuk keluar daripada parti berkenaan sejak minggu lalu.
Tindakan keluar parti itu menyusul selepas bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengambil langkah untuk mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing serta meninggalkan PKR.