MALAYSIA
USIM perkukuh kedudukan Malaysia di persada undang-undang antarabangsa

Delegasi Fakulti Undang-undang, University of Sydney yang menyertai program mobiliti offshore di USIM, Malaysia. - Foto ILU, FSU USIM
KUALA LUMPUR: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mengharumkan nama negara di peringkat global menerusi penganjuran program USIM-USYD Offshore Programme 2025 bersama Faculty of Law, University of Sydney (USYD), sebuah institusi perundangan terkemuka dunia yang kini berada di kedudukan ke-16 global dalam bidang undang-undang menurut QS World University Rankings 2025.
Program berprestij yang berlangsung dari 6 hingga 12 Julai itu dikendalikan sepenuhnya oleh Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), USIM di bawah pimpinan Pemangku Dekan, Prof. Madya Dr. Nisar Mohammad Ahmad, dan dikuasakan oleh Unit Undang-Undang Antarabangsa (ILU) yang diterajui oleh Prof. Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli.
Seramai 19 pelajar undang-undang dari USYD menyertai program berkenaan, diiringi dua pensyarah kanan mereka, Prof. Madya Dr. Salim Farrar dan Dr. Rachel Killean.
“Penyertaan institusi ternama seperti USYD membuktikan keyakinan komuniti akademik antarabangsa terhadap kepakaran USIM, khususnya dalam bidang undang-undang Islam dan sistem perundangan Asia Tenggara,” kata Mohd Hazmi.Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan kepada sistem perundangan Malaysia yang unik dan pluralistik melalui siri syarahan oleh pakar-pakar USIM meliputi topik seperti tadbir urus dan semakan kehakiman, kebebasan perlembagaan, kewangan Islam, perlindungan pelarian serta hak komuniti Orang Asli.
Delegasi turut dibawa melawat institusi perundangan utama negara termasuk Majlis Peguam Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) bagi memahami operasi perundangan secara langsung.
Program ini turut menonjolkan warisan budaya Malaysia melalui lawatan ke perkampungan Mah Meri di Pulau Carey serta ekopelancongan di hutan paya bakau Sijangkang, Selangor.
“Gabungan elemen akademik dan budaya ini memberikan perspektif menyeluruh kepada peserta antarabangsa mengenai landskap undang-undang dan sosial Malaysia,” tambah beliau.
FSU melalui ILU turut merancang untuk meneruskan program tahunan ASEAN Classroom (ACL) yang kini memasuki edisi kesembilan, dengan penyertaan dari Brunei Darussalam, Rusia, Indonesia dan Malaysia pada Ogos ini.
USIM komited memperluaskan kerjasama global dalam pendidikan dan penyelidikan undang-undang, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam bidang ini di peringkat antarabangsa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami