Usir diplomat Korea Utara demi lindungi kedaulatan Malaysia - Hishammuddin

Harits Asyraf Hasnan
Mac 21, 2021 10:46 MYT
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tindakan itu turut dibuat seiring Artikel 9 Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tindakan Malaysia mengusir semua diplomat Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur merupakan satu keperluan untuk melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tindakan itu turut dibuat seiring Artikel 9 Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.
"TTindakan ini akan menjadi peringatan bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang cubaan untuk mencampuri urusan dalaman dan sistem kehakimannya, mencemarkan sistem tadbir urus, dan sentiasa ingin mewujudkan ketegangan dengan melanggar undang-undang antarabangsa.," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, Kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan itu sebagai tindak balas terhadap keputusan unilateral dan sama sekali tidak bertanggungjawab oleh Korea Utara pada 19 Mac 2021 untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Kesemua 33 kakitangan serta keluarga Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur berlepas pulang ke Pyongyang, petang tadi.
BACA: Kakitangan, keluarga Kedutaan Korea Utara tinggalkan Malaysia
BACA: Korea Utara sah putuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia
Ia selepas Malaysia memberi tempoh 48 jam kepada pegawai dan kakitangan kedutaan itu untuk meninggalkan negara ini susulan keputusan Korea Utara yang bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Tindakan tersebut ekoran keputusan mahkamah yang mengarahkan seorang rakyat Korea Utara, Mun Chol Myong diekstradisi ke Amerika Syarikat, untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.
Keputusan drastik kerajaan Korea Utara pada Jumaat juga mengarahkan penutupan misi Kedutaan Malaysia di ibu kotanya, Pyongyang.
#Hishammuddin Hussein #Korea Utara #Kuala Lumpur #Pyongyang #hubungan diplomatik #Malaysia-Korea Utara #diplomasi #hubungan diplomatik Korea Utara #putus hubungan diplomatik