KUALA LUMPUR: Universiti Sains Malaysia (USM) semakin hampir dengan sasarannya menjadi universiti peneraju kemampanan selepas diletakkan di kedudukan keempat dalam ranking kemampanan global oleh Times Higher Education (THE-GIR) 2022 baru-baru ini.

Kedudukan THE-GIR mengukur sumbangan yang dibuat oleh institusi dan komunitinya dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjelang 2030.

Ini termasuk inisiatif yang diambil oleh institusi bersama rakan kongsinya dalam memenuhi keperluan SDG.

Sebanyak 1,406 institusi pengajian tinggi mengambil bahagian dalam pengukuran ranking berasaskan 17 SDG.

Penyenaraian terbaharu yang dikeluarkan oleh THE-GIR, merupakan satu lonjakan besar berbanding kedudukan pada 2021 pada kedudukan 39.

Selain menunjukkan peningkatan markah dalam kesemua 17 SDG, USM juga berada pada kedudukan tinggi dalam empat SDG, iaitu SDG 5 (Kesaksamaan Gender), di mana ia menggambarkan kejayaan USM dalam mempromosikan penyelidikan berdasarkan jantina, peratusan wanita dalam akademik, peratusan graduan wanita dan dalam mengukur kejayaan keseluruhan jantina yang lebih adil.

Selain itu, USM juga berada dalam kedudukan tinggi bagi SDG 7 (Tenaga Mampu Milik dan Bersih), di mana ia mencerminkan peranan USM dalam mengambil langkah berkaitan kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui, serta aplikasinya dalam masyarakat.

USM berjaya memperoleh markah 96.4 untuk SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh) apabila usahanya dalam penyelidikan, pengurusan, hubungan dengan pihak berkuasa dan penglibatan pelajar turut diberi pengiktirafan.

USM memperoleh markah penuh untuk SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat), yang merupakan SDG wajib dalam pengiraan THE-GIR menunjukkan hubungan akrab universiti dengan pelbagai pihak dan peringkat termasuk komuniti dan industri untuk mencapai matlamatnya. Ini juga meliputi pembudayaan kelestarian di dalam kalangan warga universiti.

Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Dr. Awang Adek Hussin menzahirkan  kesyukuran dan berbangga dengan pencapaian ini.

"Ini adalah pengiktirafan tertinggi yang menunjukkan USM berupaya menjadi pemimpin dunia dalam usaha kelestarian terutamanya untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat sejagat apatah lagi di negara ini.

"Hal ini misalnya juga dapat dilihat melalui pengiktirafan USM dalam mencapai SDG 1 iaitu No Poverty dan SDG 2 Zero Hunger yang menunjukkan pelbagai aspek kebajikan yang diusahakan selama ini dalam membantu pelajar, staf mahu pun masyarakat termasuk membantu kumpulan miskin dan terkebawah," kata beliau.

Tambahnya, ranking ini sangat bermakna kerana pengukurannya adalah terhadap sumbangan universiti kepada masyarakat dan negara yang sememangnya menjadi peranan utama yang digalas oleh sesebuah institusi pengajian tinggi.

"Kita akan terus memastikan universiti sentiasa memimpin dalam usaha ini apatah lagi dengan pengiktirafan dan pencapaian cemerlang ini," tegas beliau lagi.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan pula berkata, kejayaan ini adalah pengiktirafan tinggi  sesuai dengan hasrat USM menjadi pemimpin kelestarian dunia dari aspirasi APEX.

"Pelbagai usaha dibuat selama ini dan dipantau secara berterusan untuk memastikan kelestarian menjadi budaya kerja warga kampus."

"Malah USM menyediakan pelbagai prasarana dan dasar untuk menguruskan usaha ini," jelas beliau.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha ini sehingga USM berupaya mendapat pengiktirafan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr Md Roslan Hashim pula menjelaskan, kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif dari pelbagai pihak yang membuahkan hasil dengan mengutip data yang banyak terdapat dalam kampus berkaitan kelestarian dan impaknya kepada masyarakat.

"USM juga menubuhkan Majlis Kelestarian Universiti yang menyediakan garis panduan dan pemantauan terhadap usaha-usaha yang dibuat oleh universiti terutamanya peranan Pusat Kajian Kelestarian Global yang menyelaras dan mendokumentasi data-data yang berkaitan," kata Md. Roslan.

Tegas beliau, hal ini juga menunjukkan keseriusan universiti dalam memastikan institusi pengajian tinggi memainkan peranan sewajarnya dalam proses pembangunan masyarakat dan negara selain dari menjaga kualiti akademiknya.