Lazimnya sesebuah rumah yang hendak dipindahkan ke lokasi lain akan dibongkar terlebih dahulu, namun bagi penduduk Kampung Labu Kubong di sini mereka lebih rela menggunakan tenaga tulang empat kerat untuk mengangkat dan mengusung sebuah rumah berusia 80 tahun untuk dipindahkan ke lokasi baharu.

Dalam semangat cintakan budaya bangsa, kira-kira 100 orang penduduk kampung itu tanpa mengira umur bergotong royong mengangkat serta mengusung rumah seberat enam tan itu sejauh 150 meter untuk dipindahkan dari lokasi asalnya ke Dataran Badang.

Walaupun jaraknya tidak jauh, namun usaha itu mengambil masa kira-kira empat jam kerana rumah itu diusung secara bergilir-gilir dan mereka yang terbabit perlu melintasi beberapa halangan seperti longkang dan parit sebelum sampai ke lokasi baharu.

Turut menyaksikan tradisi mengusung rumah itu, ialah 100 pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) selain 40 pelajar Pusat Tahfiz dari Patani, Thailand.

Penganjur program, Meor Samsudin Abu Hassan berkata rumah tradisi itu masih elok dan ciri-ciri tradisionalnya yang lengkap itu akan ditambah baik untuk dijadikan sebagai produk pelancongan di kampung Labu Kubong.

"Pada awalnya rumah itu mahu dileraikan sebelum memasangnya kembali di lokasi baharu, namun timbul idea agar pemindahan dilakukan dengan cara mengusung," katanya kepada pemberita pada program itu yang turut dihadiri Anggota Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menurut Meor Samsudin, kira-kira 100 penduduk terpaksa menggunakan seluruh kudrat yang ada untuk mengangkat dan mengusung rumah itu yang dibina daripada kayu cengal serta meranti.

Sementara itu, Pegawai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Perak, Noor Azira Mohd Rais berkata program itu sangat unik dan kementerian sangat menggalakkan usaha sedemikian bagi menarik lebih ramai pelancong mengunjungi lokasi menarik di dalam negara.

"Ia sekali gus dapat membantu mempromosikan kebudayaan yang masih banyak belum didedahkan kepada para pengunjung dari dalam dan luar negara," katanya.

Ruzimah Abdul Rahman, 45, cucu kepada pemilik rumah itu Rokiah Salim, berkata neneknya telah meninggal dunia lewat 80-an dan rumah itu tidak berpenghuni sejak 30 tahun lalu.

"Saya dan ahli keluarga setuju rumah ini dipindahkan ke dataran supaya ia dapat dijadikan produk pelancongan dan generasi muda dapat melihat rumah ini," katanya sambil melahirkan rasa sayu melihat rumah itu dipindahkan kerana beliau dilahirkan dan membesar di rumah berkenaan.

Seorang penuntut UTP, Sayed Muslim Jameel berkata beliau sangat teruja dapat menyaksikan program itu kerana ia sangat unik.

"Saya terkejut melihat penduduk mengangkat rumah yang berat ini kerana bukan senang, ia memerlukan tenaga yang banyak. Bagaimanapun saya sangat berbangga dengan mereka kerana rajin dan bekerjasama mengangkat rumah ini sampai ke lokasi baharu," katanya.

-- BERNAMA