PADANG TERAP: Perkara utama yang harus diberikan fokus oleh semua pihak terutama ahli politik di Malaysia adalah memberi tumpuan pada pelan pemulihan ekonomi selain usaha dalam melandaikan kes COVID-19 yang membimbangkan ketika ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid sekali lagi menegaskan, sebarang keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu dilakukan hanya selepas pelan pemulihan yang direncanakan berjaya dan negara berada pada tahap 'selesa' daripada penularan kes COVID-19.

Tegas Menteri Pembangunan Luar Bandar ini lagi, sebilangan besar rakyat benar-benar terjejas dengan penularan COVID-19 dan usaha pemulihan itu menuntut masa.

Dalam hal ini juga, Mahdzir berkata, beliau sependapat dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa PRU15 tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat.

“Perkara ini (pemulihan ekonomi) pada saya kalau (negara) dalam keadaan yang selesa (baru) elok kita fikirkan untuk buat Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Forum Sahabat Komuniti Desa (SKoD) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka di sini, pada Sabtu.

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata, PRU15 tidak sesuai diadakan pada masa ini berikutan
situasi semasa menunjukkan penularan kes masih meningkat, kemasukan kes ke hospital bertambah selain terdapat varian baharu B.1.1.529.