UTM Aerolab kukuh sebagai pusat bertaraf dunia

Makmal Aeronautik UTM telah dinaik taraf sebagai pusat penyelidikan pada Disember 2020 sebelum diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan (Centre of Excellence, COE) pada 2026.
SKUDAI: Pusat Penyelidikan Aeronautik Universiti Teknologi Malaysia (UTM Aerolab) terus mengukuhkan peranannya sebagai kemudahan strategik negara apabila muncul sebagai satu-satunya fasiliti terowong angin subsonik di Malaysia yang menerima pengiktirafan antarabangsa.
Menurut Pengarahnya, Prof. Madya Ir Dr Shabudin Mat, pengiktirafan itu diperkukuhkan melalui keahlian penuh UTM Aerolab dalam Subsonic Aerodynamic Testing Association (SATA) sejak 2002, sekali gus meletakkan fasiliti tersebut setaraf dengan terowong angin milik organisasi aeroangkasa terkemuka dunia.
''Keahlian berprestij itu menjadikan UTM Aerolab satu-satunya pusat seumpamanya di Malaysia yang diiktiraf oleh badan antarabangsa, sejajar dengan piawaian yang digunakan oleh syarikat dan agensi global dalam bidang aeroangkasa.
"Peranan pusat itu bukan terhad kepada sokongan akademik semata-mata, sebaliknya turut berfungsi sebagai platform ujian, penyelidikan gunaan serta khidmat perundingan kepada industri.
“UTM Aerolab bukan sahaja menyokong pengajaran dan penyelidikan universiti, malah menjadi rakan strategik kepada industri dan institusi penyelidikan tempatan serta antarabangsa dalam pelbagai projek aeronautik,” katanya menerusi kenyataan media pada Khamis.
Dr Shabudin berkata, pusat itu turut aktif menjalin kerjasama antarabangsa melibatkan penyelidikan aerodinamik, reka bentuk pesawat dan teknologi berkaitan bersama rakan dari pelbagai rantau dunia.
“Kerjasama yang dijalankan melibatkan institusi penyelidikan di Eropah, Asia Barat dan Asia Tenggara, yang memberi tumpuan kepada pertukaran kepakaran serta pembangunan teknologi aeronautik berimpak tinggi,” jelasnya.
Antara rakan kerjasama antarabangsa UTM Aerolab termasuk Indonesian Low Speed Wind Tunnel (ILST), institusi kejuruteraan aeroangkasa di Perancis serta beberapa universiti teknikal di Turkiye.
Kerjasama tersebut merangkumi pelaksanaan projek penyelidikan bersama, pertukaran penyelidik dan kepakaran teknikal, selain pembangunan teknologi dalam bidang aeroangkasa dan penerbangan.
Dari segi kemudahan fizikal, terowong angin UTM Aerolab mempunyai keluasan sekitar 180 kaki panjang dan 75 kaki lebar, menjadikannya antara fasiliti terowong angin subsonik terbesar dan paling canggih di Asia Tenggara.
Selain ujian aerodinamik, pusat ini turut menjalankan penyelidikan dalam bidang pesawat tanpa pemandu, sistem avionik, pembakaran enjin pesawat, reka bentuk serta struktur pesawat, dan simulasi kejuruteraan berkomputer.
"Sejak ditubuhkan, UTM Aerolab telah menerima pelbagai geran penyelidikan daripada kementerian, universiti dan sektor industri, selain terlibat dalam projek perundingan bersama agensi kerajaan dan syarikat kejuruteraan berprofil tinggi di peringkat tempatan serta antarabangsa,"katanya.
Makmal Aeronautik UTM telah dinaik taraf sebagai pusat penyelidikan pada Disember 2020 sebelum diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan (Centre of Excellence, COE) pada 2026.
Ia selari dengan aspirasi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem penyelidikan aeronautik dan aeroangkasa serantau, sekali gus meneruskan legasi UTM sebagai universiti perintis pengajian aeronautik negara sejak 1981.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


