Skip to main content

Malaysia

UTM bawa kepakaran teknologi perkasa komuniti menerusi Bangsa Johor Bahagia

Wakil komuniti dan rakan pelaksana Program Bangsa Johor Bahagia berganding bahu menjayakan pelbagai inisiatif yang memberi impak kepada pembangunan masyarakat setempat. - Foto Astro AWANI
Wakil komuniti dan rakan pelaksana Program Bangsa Johor Bahagia berganding bahu menjayakan pelbagai inisiatif yang memberi impak kepada pembangunan masyarakat setempat. - Foto Astro AWANI
Advertisement

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memainkan peranan penting sebagai rakan pelaksana dalam Program Bangsa Johor Bahagia (BJB) yang diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, dengan membawa kepakaran akademik, teknologi dan inovasi terus kepada komuniti.

Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM, Prof Dr Johari Surif berkata penglibatan universiti dalam program itu bertujuan memastikan kepakaran yang dimiliki institusi pendidikan tinggi dapat diterjemahkan kepada penyelesaian masalah sebenar masyarakat.

“Universiti tidak boleh bergerak secara bersendirian. Kepakaran dan penyelidikan yang ada perlu diterjemahkan kepada masyarakat supaya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh komuniti,” katanya.

Advertisement

Menurut beliau, pelaksanaan program di kawasan komuniti sasaran memberi tumpuan kepada aspek pembangunan pendidikan, kesejahteraan sosial, keselamatan dan pembangunan insan secara menyeluruh.

Sementara itu, Pengarah Projek BJB, Prof Madya Ts Dr Mohd Hishyam Rashidi berkata pelbagai elemen teknologi turut diperkenalkan dalam usaha meningkatkan kualiti hidup penduduk.

Advertisement

“Kami memperkenalkan pendekatan seperti kebun pintar, rumah hijau, sistem tenaga solar dan penghasilan baja kompos yang bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah boleh membantu menjana pendapatan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata usaha itu turut disokong melalui inisiatif pendidikan termasuk perpustakaan mini, bimbingan akademik dan pendedahan awal kepada dunia universiti.

“Matlamat akhirnya adalah untuk membina komuniti yang lebih berdikari, mempunyai akses kepada pendidikan yang baik serta mampu memanfaatkan teknologi dalam kehidupan harian mereka,” tambahnya lagi.

Menurut kedua-dua tokoh akademik itu, kejayaan Program BJB membuktikan pembangunan komuniti yang mampan memerlukan gabungan kepakaran institusi pendidikan, kepimpinan masyarakat dan penyertaan aktif komuniti setempat.

Must Watch Video

Advertisement