Universiti Utara Malaysia (UUM) telah disenaraikan di kedudukan 101-150 universiti terbaik dunia di bawah usia 50 tahun melalui kaji selidik QS World University yang diterbitkan pada 21 Jun, 2018.

Diterbitkan buat kali pertama pada tahun 2012, QS World University Rankings 50 Under 50 menyenaraikan universiti terbaik yang berusia di bawah 50 tahun berdasarkan kepada keputusan QS World University Rankings terkini.

Naib Canselor, Profesor Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak melahirkan rasa syukur di atas penyenaraian ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua warga UUM yang terus komited menjayakan agenda universiti.

"Warga UUM perlu berusaha lebih gigih dan perbaiki pencapaian untuk terus meningkat dalam kedudukan ranking dunia, khususnya "subject ranking" yang telah dikenal pasti," ujarnya.

Menurutnya lagi agenda pengantarabangsaan UUM perlu diperkukuhkan dengan menambah bilangan pelajar antarabangsa, kerjasama antarabangsa dan staf yang lebih bersifat antarabangsa dari segi bilangan dan ketrampilan.

"Agenda penyelidikan, penerbitan dan sitasi juga perlu dipergiat dengan memperkukuhkan pusat-pusat kecemerlangan UCOE dan SCOE," tambahnya.

UUM mencatat peningkatan sebanyak 100 anak tangga apabila dikategorikan di kedudukan ke 601-650 dalam QS World University Rankings baru-baru ini.

Penyenaraian terbaru ini meletakkan UUM setaraf dengan University of Canberra, Australia; University of Brighton, United Kingdom; University of Huddersfield, United Kingdom dan Ajou University, Korea.